Sebahagian pekerja Top Glove susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penulararan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Asrama Pekerja Top Glove, Meru. foto AFIQ HAMBALI, 17 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak perlu dilaksanakan secara menyeluruh di wilayah persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor biarpun berlaku peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan itu tidak perlu kerana ia akan dilakukan secara bersasar mulai saat ini.

“Setakat ini tidak ada perancangan untuk menutup seluruh Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur, malah menutup Selangor, tidak ada lagi.

“Ini kerana kita boleh lakukan secara bersasar berdasarkan kepada lokaliti,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenalpasti dahulu kawasan yang perlu dilaksanakan PKPD berdasarkan kepada jumlah kes positif Covid-19 di kawasan itu.

“Kita tidak akan laksanakan PKPD di seluruh tempat, bukan seluruh Kuala Lumpur misalnya tapi seluruh kawasan yang berkaitan.

“Sekiranya ini dilaksanakan di Damansara walaupun kita tidak lockdown tetapi tapak binaan itu kita telah tutup dan semua yang bekerja di saring dan kita fokus seperti kawasan itu,” jelas beliau.

Pada Ahad lalu, KKM memaklumkan Kuala Lumpur mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 469 dengan 460 kes daripada Kluster Tapak Bina Damanlela.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan PKPD di Kluster Tapak Bina Damanlela kerana KKM telah mengambil tindakan terhadap perkara itu. – MalaysiaGazette