Pfizer-BioNTech Covid-19 vaccine Muhyiddin Yassin National Covid-19 Immunisation Programme
Muhyiddin Yassin PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Perjanjian yang ditandatangani di antara kerajaan Sarawak dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan membuka lembaran baharu dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri minyak dan gas, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Ia juga akan membuka pelbagai peluang perniagaan dan pembangunan industri yang berkaitan di negeri itu, katanya.

Justeru, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengalu-alukan persetujuan di antara kerajaan Sarawak dengan Petronas dalam menyelesaikan isu berkaitan pengurusan minyak dan gas di negeri tersebut melalui sebuah perjanjian komersial.

“Penyelesaian isu berkaitan pengurusan minyak dan gas ini, termasuk persetujuan berhubung pengenalan cukai jualan petroleum di negeri Sarawak yang dicapai sebelum ini akan membolehkan kerajaan negeri memperluas kutipan hasil untuk disalurkan kepada pelbagai program pembangunan demi kesejahteraan segenap lapisan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Majlis itu disaksikan oleh Muhyiddin, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, perjanjian yang dimeterai itu membolehkan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), anak syarikat milik kerajaan negeri Sarawak, memainkan peranan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan Petronas.

Selain itu, ia akan membuka peluang yang lebih luas kepada syarikat-syarikat dalam industri perkhidmatan minyak dan gas di Sarawak untuk menceburi lebih banyak bidang perniagaan berkaitan industri tersebut, menurutnya.

”Pada masa yang sama, Petronas akan terus memainkan peranan sebagai syarikat minyak nasional dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh, selaras dengan undang-undang negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, persetujuan serta permuafakatan kedua-dua pihak dalam memeterai perjanjian komersial tersebut sesungguhnya melambangkan komitmen kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan perkara ini secara bersama dengan kerajaan negeri Sarawak.

“Diharapkan penyelesaian isu ini bakal membuka lembaran baharu dalam usaha mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, selain memastikan pembangunan wilayah yang inklusif agar nikmat pembangunan negara dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia secara adil dan saksama,” katanya. – MalaysiaGazette