Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) membantah penganjuran Grand Final Gala Night bagi Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 yang akan diadakan pada 2 Januari ini di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, penganjuran program seperti itu pada asasnya memberi isyarat yang salah kepada rakyat yang menggambarkan seolah-olah kerajaan dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  merestui program sebegitu untuk disajikan kepada rakyat.

“Sedangkan umum mengetahui sikap kerajaan terutamanya Perdana Menteri yang amat serius dalam usaha membanteras segala aktiviti yang tidak menyumbang ke arah pembinaan akhlak dan adab yang terpuji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Facebook Miss Plus World Malaysia / Ms Plus Intercontinental Malaysia, misinya adalah untuk mempamerkan kepelbagaian, kreativiti, kepimpinan, stail, keanggunan dan kecantikan wanita di seluruh Malaysia dan membantu membina keyakinan generasi wanita moden yang berkongsi budaya dan kekuatan antara satu sama lain di dunia.

Pemenang Miss Plus Malaysia 2020 akan mewakili Malaysia dan bertanding di Amerika Syarikat dalam Miss Plus World Finals 2020-2021.

Ia akan menyediakan peluang yang besar kepada peserta untuk bersaing dengan ramai ratu cantik daripada pelbagai negara di peringkat antarabangsa, dam sekiranya menang individu itu akan dimahkotakan dengan Miss Plus World yang diiktiraf antarabangsa.

Menurut Nasrudin, dalam suasana menghadapi pandemik Covid-19, sebarang bentuk perhimpunan yang tidak mendesak harus dielakkan kerana risiko penularan tetap ada walaupun pihak pengajur memberi jaminan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Tambah beliau, ia merupakan sikap yang diambil di seluruh dunia termasuk penganjuran program-program hedonistik seumpama ini seperti penganjuran Miss World 2021.

“Selain itu konsep penganjuran program seperti ini sebenarnya tidak pernah dibenarkan oleh mana-mana agama terutamanya Islam kerana program seumpama ini lebih bersifat eksploitasi kepada wanita dan bersifat penyuburan kepada budaya hedonistik oleh tamadun-tamadun yang telah pupus sebelum ini,” ujarnya.

Nasrudin berkata, sekiranya ingin dijustifikasikan penganjuran itu dengan penggalakkan aktiviti ekonomi dan sosial, pandangan tersebut adalah terlalu dangkal kerana kesan limpahan ekonomi daripada pengajurannya terlalu marginal sedangkan nilai murni
sosial di Malaysia sentiasa dibanggakan dengan unsur kesopanan dan kesantunan akan semakin terhakis.

Berdasarkan faktor-faktor yang dikemukakan itu, katanya, Yadim
menyeru agar langkah-langkah wajar diambil bagi memastikan program tersebut tidak dilaksanakan.

Keutamaan majoriti rakyat kini adalah usaha mempergiatkan semula ekonomi demi kelangsungan hidup dan bukannya kepada penganjuran program yang sia-sia, ujarnya.

Menurut Nasrudin, pihaknya akan menghantar memo bantahan kepada penganjur dan juga pihak berkuasa tempatan pada Isnin ini sebagai bukti komitmen badan dakwah itu menentang sebarang penganjuran program yang tidak bermanfaat.

Katanya, Yadim yakini majoriti rakyat tanpa mengira sempadan agama dan bangsa tidak merestui program yang bukan sahaja tiada membawa manfaat kepada rakyat terbanyak bahkan mengundang kemurkaan Allah SWT. – MalaysiaGazette