Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat PHB hari ini. foto FB Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin Perbadanan Hartanah Bumiputera (PHB) akan terus fokus dalam mendukung amanah serta mandatnya untuk terus meningkatkan keupayaan dan kekayaan ekonomi bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial di Malaysia.

Malah, PHB yang dimiliki oleh Yayasan Hartanah Bumiputera itu juga akan meneruskan kemudahan penyertaan bumiputera dalam pelaburan hartanah menerusi pulangan stabil dan berdaya saing.

Perdana Menteri melahirkan rasa berpuas hati dengan prestasi Unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang mencapai pulangan bersih selepas zakat sebanyak 5.0 peratus setahun pada tahun ini walaupun dalam keadaan pasaran yang mencabar.

Sejak dilancarkan pada akhir 2010, AHB telah mengagihkan dividen terkumpul sejumlah RM1.41 bilion kepada 75,000 pelabur runcit bumiputera dan 14 institusi bumiputera.

”Saya ingin berkongsi kegembiraan apabila dimaklumkan bahawa sejumlah RM31.4 juta telah diperuntukkan pada tahun 2020 bagi melaksanakan ‘Rents Relief Program’, bertujuan untuk membantu penyewa-penyewa di bangunan PHB sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Perdana Menteri menerusi akaun Facebooknya.

Beliau yang juga Pengerusi YAHB berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama yayasan itu bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta pemegang amanah YAHB yang lain iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi PHB, Tan Sri Md Nor Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mahmud Fauzi Muda dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mohd Fadzil Maruwan.

Sehingga kini, menurut beliau, PHB memiliki 23 buah bangunan di lokasi yang strategik, terdiri daripada bangunan pejabat, pusat beli-belah, gudang logistik dan hospital swasta bagi pihak pelabur bumiputera daripada semua lapisan masyarakat. – MalaysiaGazette