Prof. Madya Dr. Azmi Hassan. foto MOHD ADZLAN, 31 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – PKR merupakan parti politik yang lebih memberikan ruang kepada anak muda untuk bersuara dan membarisi kepimpinannya jika dibandingkan dengan UMNO.

Sebagai pemerhati politik yang tidak mempunyai kepentingan, Prof Madya Dr Azmi Hassan melihat UMNO sehingga kini hierarkinya tidak banyak berubah selain daripada suara-suara pemimpin muda yang sering tenggelam oleh suara veteran.

“Ini adalah pandangan orang luar daripada parti politik. Apa yang saya perhatikan bila disebut tentang hierarki dalam UMNO dan suara anak muda dalam PKR kalau mahu buat perbandingan saya nyatakan PKR lebih memberi ruang kepada kepimpinan anak-anak muda.

“UMNO sekarang, sama sahaja tidak banyak berubah. Suara-suara pemimpin muda tidak timbul tenggelam dalam suara vateran,” kata Teo strategis itu ketika menjadi salah seorang panelis dalam Program REVIU 2020 yang disiarkan  menerusi Facebook Live MalaysiaGazette.

Dua lagi panelis Program REVIU 2020 itu adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Khaidiriah Abu Zahar dan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), S Thiban.

Bagaimanapun Azmi memuji UMNO kerana dilihat mempunyai keberanian yang tinggi mengkritik kerajaan yang merupakan rakan kerjasama sendiri.

Perkara itu ujar beliau terbukti apabila parti tersebut lantang mengkritik Belanjawan 2021 baru-baru ini.

Keadaan ini, kata beliau, merupakan situasi yang memberikan kebaikan untuk rakyat apabila keberanian UMNO itu merupakan suara keluhan rakyat.

“Dalam keadaan sekarang kerajaan mempunyai satu dua majoriti atau tidak ada majoriti ada baiknya kerana mungkin pertama kali semasa perbahasan RUU Perbekalan Belanjawan 2021 semua orang minat.

“Ada baiknya juga dalam keadaan sekarang kerana tidak pernah saya terfikir UMNO yang menyokong kerajaan boleh kritik pula kerajaan itu satu keadaan yang dikatakan baik

“Berbeza kalau beri cadangan kerajaan boleh terima tidak boleh terima tetapi bila rakan dalam Perikatan Nasional itu membuat bangkangan dan cadangan tangan itu terikat perkara itu yang dilihat suatu yang baik,” tambah beliau. – MalaysiaGazette