Bekas Komanden Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM),Brigedier Jeneral (B) Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin (tengah) berjalan keluar dari mahkamah selepas menghadapi dua pertuduhan menerima rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto FIKRI YAZID, 03 FEBRUARI 2021

KUALA LUMPUR – Seorang bekas Komandan Akademi Latihan Ketenteraan di Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah menerima hasil aktiviti wang haram RM200,000 dalam dua transaksi berbeza yang berjumlah RM400,000 pada Oktober 2016.

Tertuduh, Brigadier Jeneral (B) Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Tertuduh yang berusia 64 tahun itu hadir ke Mahkamah Sesyen Jenayaj, Jalan Duta, di sini pada jam 8.30 pagi bagi menghadapi dua pertuduhan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nik Haslinie Hashin.

Menurut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM200,000 melalui cek Maybank Islamic Berhad milik Too Pro Market yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank miliknya.

Dalam pertuduhan kedua, Mohamad Adkaa didakwa menerima wang berjumlah RM200,000 melalui cek bank yang sama milik syarikat SFX Management yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank miliknya.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 11 hingga 13 Oktober 2016 di Lot F1/26 dan F1/27, Maybank Cawangan Kompleks Dayabumi, Kompleks Dayabumi City Point di ibu negara.

Jika disabitkan kesalahan Mohamad Adkaa boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta atau yang mana lebih tinggi.

Tertuduh yang tidak mengaku bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan itu memohon kes dibicarakan.

Peguambelanya, Nor Ashyikin Zakaria memohon mahkamah supaya membenarkan satu nilai wang jaminan yang munasabah dengan mengambil kira situasi semasa pesara tentera itu serta tanggungan dalam keluarganya.

Selepas meneliti hujah berkenaan Hakim Rozina menetapkan wang jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 26 Februari ini.

Tertuduh sebelum ini pernah didakwa bersama dengan seorang lagi pegawainya iaitu Pengarah Akedemi berkenaan, Leftenan Kolonel Azman Mohamad Yasin, 57, di mahkamah sama pada 23 November 2020 atas kesalahan pecah amanah Tabung Kebajikan Akademi Latihan Ketenteraan berjumlah hampir RM1 juta.

Beliau didakwa melakukan pecah amanah ke atas dana berkenaan dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM500,000 bagi pelaburan melalui institusi kewangan yang tak berdaftar secara sah di akademi UPNM, Kem Perdana Sungai Besi pada 3 Ogos 2016.

Mereka juga juga didakwa melakukan kesalahan sama dengan pelaburan wang berjumlah RM420,000 di insititusi kewangan tidak sah di lokasi sama pada 23 September 2016. -MalaysiaGazette.