Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) semalam menahan 745 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 701 telah dikompaun, 41 individu lagi direman manakala tiga dijamin.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk tiada penjarakan fizikal (156), rentas negeri/ daerah tanpa kebenaran (151), tidak memakai pelitup muka (129).

“Turut ditahan atas kesalahan kerana gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (112), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (57), aktiviti pusat hiburan (13) dan lain-lain (127),” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan bahawa aktiviti kelab malam, pusat hiburan serta pusat karaoke hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi sejak mula PKP.

“Larangan itu masih kekal dalam senarai terlarang sejak mula PKP 2.0 dilaksanakan,” katannya.

Bagaimanapun, sejumlah 4,666 tangkapan telah dilakukan PDRM sepanjang pelaksanaan PKP dari 18 Mac 2020 hingga 31 Januari 2021.

“Selain daripada 4,666 tangkapan, sebanyak 951 premis pusat hiburan diserbu manakala sebanyak 9,587 kompaun telah dikeluarkan setakat 31 Januari lalu,” katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa telah berjaya menahan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas enam kenderaan dalam Op Benteng setakat semalam.

“Dalam operasi itu juga, sebanyak 135 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan,” jelasnya.

Selain itu, Op Benteng Zon Utara Kelantan di kawasan Op Merpati 8 Briged semalam berjaya merampas 10 guni syabu seberat 402 kilogram yang bernilai lebih RM16 juta.

“Rampasan itu dilakukan oleh Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan di Kg Lubok Stol, Rantau Panjang.

“Rampasan dilakukan sekitar jam 10 pagi semalam di tebing Sungai Golok,” katanya lagi. – MalaysiaGazette