Datuk Zainuddin Yaacob. foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima individu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita warga Nigeria di Puchong, dekat sini  kerana disyaki menjalankan kegiatan penipuan perdagangan elektronik (ee-dagang) dan Love Scam kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pasukannya telah melncarkan serbuan di dua premis di Pangsapuri Ruvena Villa, Taman Putra Perdana Puchong, Selangor.

“Siasatan mendapati kesemua individu itu terlibat dalam kegiatan penipuan Love Scam dan penipuan e-dagang yang mensasarkan warga Malaysia dan Thailand sebagai mangsa mereka,” katanya dalam kenyataan sambil menambah suspek berusia antara 30 hingga 35 tahun.

Sebanyak 6,337 kes penipuan pembelian dalam talian (e-dagang) dengan kerugian kerugian sebanyak RM43.5 juta dilaporkan pada tahun lalu.

Selain itu, sebanyak 1,697 kes penipuan Love Scam melibatkan kerugian bernilai RM64.3 juta direkodkan yang menyaksikan mangsa kedua-dua penipuan itu berjumlah RM107.9 juta.

Menurut Zainuddin, kesemua suspek kini ditahan reman untuk disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya.

Tambah beliau, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)(Pindaan 2002) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh dikenakan maksimum enam sebatan jika disabitkan bersalah.

“Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan tinggal selepas tamat tempoh pas lawatan tamat dan dibtalkan yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya atau kompuan sehingga RM3,000,” ujarnya.

Zainuddin berkata, pihaknya merampas empat buah laptop, 15 telefon bimbit, dua modem bersama router serta satu pasport Nigeria dan sekeping kad ATM.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati sindiket itu dipercayai masuk ke Malaysia menggunakan pas pelajar institusi pengajian swasta di negara ini.

Katanya, Kesemua suspek melakukan aktiviti jenayah itu bersama rakan serumah dan dibantu rakan lain yang berada di luar negara yang menyasarkan rakyat Malaysia dan Thailand sebagai mangsa.

“Lebih menarik, sindiket ini juga mencari teman wanita mereka dari pelbagai negara di luar yang sanggup menjadi ‘Mule Account’ atau dikenali sebagai keldai akaun yang mana akaun-akaun itu akan digunakan untuk menipu mangsa Love Scam dan e-dagang.

“Penahanan lima suspek warga Nigeria ini diyakini polis berjaya menyelesaikan dua kes penipuan love scam dan e-dagang di negara ini,” kata beliau. – MalaysiaGazette