A contributor of the Employees Provident Fund (EPF) is making an application for the withdrawal of i-Sinar. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 21 DECEMBER 2020. income inequality
A contributor of the Employees Provident Fund (EPF) is making an application for the withdrawal of i-Sinar. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 21 DECEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil maklum pengumuman yang dibuat Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mengenai pemansuhan kriteria program i-Sinar.

Pemansuhan tersebut bertujuan untuk memberi bantuan kewangan kepada lebih ramai ahli melalui simpanan Akaun 1 mereka.

Susulan pengumuman tersebut, KWSP dalam satu kenyataan meminta ahli-ahli supaya bersabar kerana ia sedang melakukan perubahan terhadap sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online.

“Pemansuhan kriteria i-Sinar ini akan melibatkan perubahan kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online.

“Ini bagi memastikan permohonan boleh dibuat secara mudah dan selamat bagi membantu ahli bertahan ketika tempoh mencabar ini.

“Oleh itu, KWSP amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan ini dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya lagi, maklumat lanjut berkenaan perkara itu akan diumumkan menerusi saluran-saluran komunikasi rasmi KWSP.

Ahli-ahli dinasihatkan untuk merujuk maklumat sahih daripada KWSP dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang mengelirukan.

Terdahulu, Kementerian Kewangan mengumumkan, KWSP sedang dalam proses memansuhkan syarat-syarat permohonan i-Sinar.

Ia berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu KWSP menambahbaik inisiatif tersebut setelah mengambil kira maklum balas pihak awam. – MalaysiaGazette