Wajah Sheikah Latifa dalam video yang disiarkan oleh BBC. foto Agensi

DUBAI – Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengesahkan Sheikha Latifa, puteri pemerintah Dubai, sedang dirawat di rumah.

Kenyataan itu diberikan selepas pengawas hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta UAE membuktikan beliau masih hidup di tengah-tengah kebimbangan antarabangsa terhadap nasibnya.

Program berita penyiasatan BBC Panorama pada hari Selasa lalu menerbitkan sebuah video yang dikatakan mengenai Latifa, yang mana beliau mendakwa ditahan di sebuah vila dengan kawalan ketat.

”Keluarganya telah mengesahkan bahawa beliau dirawat di rumah, disokong oleh keluarganya dan profesional perubatan.

“Keadaanya semakin baik dan kami berharap beliau akan kembali kepada kehidupan umum pada waktu yang tepat,” kata kedutaan UAE di London dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu disampaikan kepada Reuters.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa liputan media “tidak mencerminkan kedudukan sebenar” Latifa.

Sheikha Latifa binti Mohammed al-Maktoum menarik perhatian antarabangsa pada tahun 2018 ketika sebuah kumpulan hak asasi manusia mengeluarkan video yang dibuat olehnya yang menunjukkan percubaan puteri itu untuk melarikan diri dari Dubai.

Pada Mac tahun lalu, seorang hakim Mahkamah Tinggi London menerima beberapa siri tuduhan yang dibuat oleh bekas isteri pemerintah Dubai, Puteri Haya, dalam kes mahkamah, termasuk tindakan Mohammed al-Maktoum yang memerintahkan penculikan Latifa.

Peguam Mohammed al-Maktoum menolak tuduhan tersebut.

Dalam video yang diterbitkan oleh BBC pada Selasa lalu, Latifa, 35, mendakwa dia dijadikan tebusan dan vila berkenaan telah diubah seperti penjara.

“Semua tingkap ditutup, saya tidak dapat membuka tingkap pun,” katanya yang mendakwa membuat video berkenaan dari bilik mandi.

Dia mengatakan bahawa dia membuat video di bilik mandi vila, satu-satunya bilik yang dia dapat berada secara bersendirian. – MalaysiaGazeette

1 Komen

Comments are closed.