Pengarah Bisnes Sektor Awam NAFAS, Saripol Baharin Karim ketika ditemui di Kampung Gajah, Perak. Foto HAZROL ZAINAL, 24 FEBRUARI 2021.

TELUK INTAN – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kini memainkan peranan besar dalam memastikan industri padi negara dapat berkembang sekaligus memenuhi permintaan pasaran.

Malah, agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) itu bertanggungjawab dalam memastikan benih padi sah yang diterima pesawah berkualiti, harga terkawal serta mempunyai bekalan yang mencukupi.

Pengarah Bisnes Sektor Awam NAFAS, Saripol Baharin Karim berkata, pelantikan NAFAS sebagai pemborong tunggal dalam pembelian benih padi sah dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk membanteras pelbagai isu dan permasalahan benih beras padi sah yang dialami pesawah sebelum ini.

Bermula awal tahun ini, NAFAS menjadi pengedar benih padi sah kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di mana petani-petani akan mendapat bekalan daripada
agensi itu, katanya.

Langkah itu jelas beliau, adalah satu cara dalam memastikan tidak ada sebarang manipulasi oleh pihak-pihak tertentu terhadap bekalan benih padi sah dengan pengawalan harga syiling yang telah ditentukan oleh pihak kerajaan.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seberang Perak, Mad Saad Harun (dua kiri) menerangkan sesuatu dengan Pengarah Bisnes Sektor Awam NAFAS, Saripol Baharin Karim (dua kanan) mengenai keadaan bendang di Kampung Gajah, Perak. Foto HAZROL ZAINAL, 24 FEBRUARI 2021.

“Harga siling yang boleh diberi kepada petani ini adalah RM35 (untuk satu beg dengan berat 20 kilogram).

“Dan untuk melaksanakan penjualan mengikut harga siling benih padi sah ini platform yang terbaik kerajaan lihat adalah melalui Pertubuhan Peladang kerana pengalaman kita dalam mengedarkan input-input pertanian selama ini seperti baja dan racun.

“Ini kerana dari segi pengedaran itu hampir sama di mana NAFAS sebagai pemborong tunggal menggunakan PPK untuk mengedarkan benih padi sah itu kepada petani.

“Ini bertujuan agar tidak ada sebarang manipulasi selain memastikan petani mendapat benih padi sah dengan harga dikawal.

“Tugas NAFAS, kita kena pastikan pertama, benih padi sah yang diedarkan itu berkualiti, kedua memastikan benih padi sah itu ada dalam pasaran dan yang ketiga harga terkawal,” katanya dalam satu temubual baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Saripol Baharin berkata, kini NAFAS memainkan peranannya dan bertanggungjawab dalam memastikan tiga perkara itu sekaligus memberi peluang kepada petani untuk mendapatkan benih yang betul-betul berkualiti.

Katanya, NAFAS perlu memastikan benih padi sah berkenaan benar-benar berada dalam pasaran serta sampai ke tangan petani dengan harga yang terkawal.

Langkah tersebut sememangnya diminta oleh kerajaan dalam memastikan benih padi yang diedarkan berkualiti dan terbaik dengan jaminan sah oleh Jabatan Pertanian.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seberang Perak, Mad Saad Harun (tengah) bersama Pengarah Bisnes Sektor Awam NAFAS, Saripol Baharin Karim (kanan) melihat jenis Benih Padi Sah (IBPS) yang tersedia untuk para petani di Kampung Gajah, Perak. Foto HAZROL ZAINAL, 24 FEBRUARI 2021.

Menurut Saripol Baharin lagi, benih padi sah itu juga perlu melalui beberapa peringkat sebelum sampai kepada petani.

Jelas beliau, benih padi asas itu dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan menggunakan baka yang ditelah dibangunkan.

Ia kemudiannya perlu didaftarkan dan semua itu dipantau oleh pihak Jabatan Pertanian melalui 10 proses sebelum sampai ke peringkat benih padi yang sah dan diedarkan kepada petani.

Benih Padi Sah (IBPS) di Kampung Gajah, Perak. Foto HAZROL ZAINAL, 24 FEBRUARI 2021.

“Benih padi sah ini merupakan benih yang cukup berkualiti dan tidak boleh dipertikaikan. Konsepnya kalau disahkan oleh Jabatan Pertanian itu maknanya ia berkualiti,” ujarnya.

Dalam pada itu Saripol Baharin berkata, untuk memberikan nilai tambah NAFAS memperkenalkan sistem penjejakan dimana setiap beg benih padi sah akan ditampal label keselamatan yang dikeluarkan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Langkah itu kata beliau, adalah untuk memastikan beg-beg benih padi sah itu dipantau bagi mengelak ia dicetak rompak oleh pihak-pihak tertentu.

“Jadi dengan adanya label itu benda ini (benih padi sah) tidak boleh ditiru…kita boleh tau sekiranya petani itu beli ditempat lain dan dari mana dia dapat sumber baja tersebut,” tambahnya. – MalaysiaGazette