Gambar hiasan

GINJAL atau lebih dikenali dengan nama ‘buah pinggang’ merupakan antara organ yang
penting dalam kehidupan seseorang manusia. Saiz yang kecil, hanya sebesar genggaman
tangan, amat mudah diabaikan namun fungsinya amat besar dalam kehidupan seseorang
insan. Ginjal berfungsi untuk menapis air yang berlebihan dan hasil kumbahan serta
menghasilkan air kencing. Kegagalan organ penting ini mengakibatkan darah tidak dapat
ditapis daripada hasil perkumuhan dan air yang berlebihan. Oleh kerana kerosakan ginjal ini biasanya tidak menunjukkan apa-apa gejala yang jelas, masalah ini biasanya hanya dapat dikesan apabila sudah terlalu lewat dan kerosakan yang berlaku berkemungkinan tidak dapat dipulihkan semula.

Oleh itu amat penting bagi kita semua menyedari punca-punca masalah ginjal yang utama terutamanya faktor yang boleh dielakkan atau diperbaiki. Ini adalah supaya kita dapat mengawal tahap kemerosotan ginjal dengan lebih berkesan. Antara penyakit yang boleh mengakibatkan kerosakan ginjal adalah penyakit seperti hipertensi dan diabetes terutamanya yang tidak terkawal. Lain-lain punca termasuklah penyakit ginjal akut, sista (cyst) di dalam ginjal, batu karang dan jangkitan pada ginjal.

Kita hanya mampu mengawal fungsi ginjal selagi ianya belum mencapai kerosakan
sepenuhnya. Pengurusan penyakit berkaitan seperti kawalan tekanan darah yang baik dan
paras gula yang normal adalah penting bagi mengekalkan fungsi ginjal yang optimum.
Pengamalan makanan yang tidak seimbang, mengambil makanan tambahan tanpa nasihat doktor dan penggunaan ubat-ubatan yang tidak mengikut dos yang ditetapkan juga boleh mengakibatkan fungsi ginjal merosot dengan lebih cepat. Jangkitan air kencing juga boleh mengakibatkan kerosakan ginjal sekiranya tidak dirawat dengan sempurna.

Walau bagaimanapun, terdapat juga keadaan yang mana seseorang itu didiagnosa menghidap penyakit buah pinggang dan terpaksa mengharungi kehidupan dengan penyakit itu sehingga ke akhir hayat mereka. Menjalani kehidupan dengan masalah ginjal yang kronik ini bukanlah suatu perkara yang mudah, malah ianya boleh menjadi cabaran yang besar buat pesakit dan keluarga atau penjaga mereka. Kesan penyakit ini tidak terhad kepada masalah fizikal, malah ia boleh mengakibatkan tekanan emosi, sosial dan kewangan. Disebabkan itu juga, ramai pesakit buah pinggang yang turut menghidap penyakit seperti keletihan, kesakitan, kemurungan, masalah penghadaman dan lain-lain penyakit fizikal dan psikososial yang lain.

Menyedari peri pentingnya kesedaran dan pemahaman terhadap masalah penyakit ginjal ini, Hari Ginjal Sedunia disambut pada 11 Mac setiap tahun. Tahun ini tema yang dibawa adalah “Hidup Sejahtera Bersama Penyakit Buah Pinggang” (Living Well with Kidney Disease). Tema ini dibawa untuk memberi pemerkasaan kepada pesakit ginjal yang kronik serta penjaga mereka dari segi pengetahuan dan kesedaran terhadap penyakit ini, sekali gus membolehkan mereka menguruskan penyakit ini dengan lebih baik.

Bersempena dengan sambutan ini, marilah kita sama-sama menambah ilmu pengetahuan
tentang cara-cara menjaga ginjal kita agar tidak mengalami kerosakan. 8 Golden Rules yang disarankan termasuklah kekal cergas dan sentiasa melakukan pergerakan fizikal agar kekal aktif, mengamalkan pemakanan seimbang, sentiasa memeriksa dan mengawal paras gula di dalam darah, sentiasa memeriksa dan mengawal tekanan darah, mengamalkan minum air kosong secukupnya mengikut keperluan tubuh badan, tidak merokok, tidak mengambil sebarang ubat tahan sakit secara berterusan atau sebarang makanan tambahan tanpa mendapatkan nasihat doktor dan memeriksa fungsi ginjal secara berkala sekiranya mempunyai salah satu daripada faktor risiko yang berikut, menghidap kencing manis, hipertensi, obes dan mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit ginjal.

Setiap organ di dalam badan kita mempunyai fungsi yang tersendiri yang sama pentingnya dan saling melengkapi. Oleh itu adalah wajib bagi kita terutamanya sebagai orang Islam untuk menjaga kesihatan tubuh badan kita, dan ginjal adalah salah satu daripada organ yang penting untuk dijaga. Pola pemakanan yang baik adalah salah satu daripada langkah utama untuk menjaga kesihatan, seiring dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya. Melainkan jika dia tidak dapat mengelak, maka isilah sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya.”

Dr Jannatul Madihah Abu Bakar
Timbalan Pengerusi WARAK Writers Pool, Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) &

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian, USIM
Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak (WARAK),
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).