KUALA LUMPUR – Anak syarikat Petroleum Nasional Bhd (Petronas), PC Myanmar (Hong Kong) Ltd (PCML) mengumumkan ‘force majeure’ di lapangan Yetagun pada Khamis (1 April) sehingga dimaklumkan kelak.

Ini berikutan pengeluaran gas yang berkurangan di lapangan itu yang terletak di Laut Andaman, di luar pesisir Myanmar di Blok M12, M13 dan M14,” kata syarikat minyak dan gas itu dalam satu kenyataan.

Katanya, keputusan itu dibuat susulan cabaran yang dihadapi bagi kebolehhantaran telaga yang menyebabkan kadar pengeluaran merosot di bawah ambang teknikal loji pemprosesan gas luar pesisir.

Ketua Negara PCML Liau Min Hoe berkata, berikutan penghentian pengeluaran itu, lapangan Yetagun telah membuat penghasilan di bawah kadar penurunan teknikal bagi kemudahannya.

“Terdapat penurunan drastik bagi tahap pengeluaran berikutan cabaran bawah permukaan di lapangan itu sejak Januari 2021 dan semakin merosot baru-baru ini. Meneruskan pengeluaran pada kadar rendah akan mewujudkan risiko yang ketara kepada integriti aset kami dan keselamatan manusia.

“Sebagai operator yang bertanggungjawab, kami perlu menghentikan pengeluaran untuk sementara waktu dan mengumumkan ‘force majeure.’ Kami telah melaksanakan pelan intervensi untuk meredakan masalah ini dan telah memaklumkan kepada pihak autoriti tuan rumah, rakan niaga kami dan pembeli gas mengenai keputusan kami,” katanya.

‘Force majeure’ bermaksud sesuatu keadaan luar biasa dan luar jangka yang berlaku di luar kawalan munasabah pihak yang terlibat dan yang mana pihak yang terkesan itu tidak dapat mencegah, mengelak atau menghilangkan.

PCML kekal komited terhadap projeknya di Yetagun dan mengambil semua langkah diperlukan untuk menyambung semula pengeluaran secepat mungkin, menurut kenyataan itu.

PCML merupakan pengendali projek gas Yetagun sejak 2003 yang memegang kepentingan sebanyak 40.9 bersama-sama gabungannya. Myanma Oil dan Gas Enterprise memegang 20.5 peratus, Nippon Oil Exploration (Myanmar) Ltd memegang 19.3 peratus kepentingan dan PTTEP International Ltd memegang baki 19.3 peratus. – Bernama