Gambar hiasan

NEW YORK – Syarikat penerbangan Amerika Syarikat memanggil semula lebih ramai juruterbang ketika industri bersiap sedia untuk memulihkan penerbangan.

Delta Air Lines Inc. berkata, syarikat itu memanggil semula semua 1,713 juruterbang yang direhatkan pada 1 April lalu.

Syarikat itu yang kekurangan kakitangan, terpaksa membatalkan 100 penerbangan pada hari Ahad.

Kira-kira 400 orang akan dilatih semula dalam persediaan untuk terbang semula pada musim panas ini, kata syarikat itu.

Sementara itu, Southwest Airlines Co. memberitahu, seramai 209 juruterbang akan kembali bertugas pada 1 Jun ini selepas mengambil cuti sukarela.

Panggilan semula itu menunjukkan syarikat penerbangan AS sedang meningkatkan usaha untuk mempersiapkan musim panas yang berpotensi sibuk memandangkan jumlah individu yang menerima vaksin Covid-19 terus meningkat.

United Airlines Holdings Inc. berkata, syarikat tersebut akan mengambil 300 juruterbang baharu selepas melakukan pendekatan dramatik dengan mengurangkan gaji kakitangan melalui program persaraan awal dan cuti sementara ekoran pandemik Covid-19.

Lebih daripada 1.5 juta penumpang mendaftar di pusat pemeriksaan keselamatan dalam negeri pada 4 April lalu berbanding hanya 122,029 tahun sebelumnya.

United dan American Airlines Group Inc. berkata, pesawat merekodkan kapasiti 80% penuh. – MalaysiaGazette