Adham Baba The President of Malaysian Consultative Council for Islamic Organization (MAPIM), Mohd Azmi Bin Abdul Hamid. PIX: IQBAL BASRI / MalaysiaGazette / 01 SEPTEMBER 2018 double standard ministers quarantine Muhammad Sajjad Nur Sajat Islam Muslim
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hairan mengapa sistem tender kerajaan tidak dapat mengesan operasi kartel yang telah lama wujud.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul hamid berkata, kartel yang telah memakai khidmat kakitangan awam untuk jaminan mendapat tender menandakan sistem tapisan dan saringan sedia ada tidak berkesan.

“Kesempatan yang telah diambil oleh kartel akan menyebabkan isu ini makin mudah berleluasa di seluruh negara.

“Oleh itu, kami menegaskan kewujudan kartel dalam urusan tender kerajaan mesti dibanteras habis-habisan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Azmi berkata, pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai seorang Datuk yang hanya berusia 47 tahun telah mewujudkan dan mengawal 150 syarikat untuk memonopoli tender kerajaan adalah amat serius.

“Baru-baru ini, SPRM telah mendedahkan seorang pemilik kartel yang memiliki kekayaan lumayan dengan cara beroperasi memasuki dan memenangi tender kerajaan bernilai RM 3.8 bilion.

“Dengan licik kartel itu mengguna ratusan nama mereka yang dipilih serta pegawai dalam kerajaan untuk melicinkan operasi memonopoli tender.

“Pendedahan SPRM itu seharusnya menggerakkan kerajaan menapis dan menilai proses tender supaya tidak berlaku penyelewengan atau salah guna kuasa bukan hanya dengan berdiam diri sahaja,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Azmi menyatakan proses tender yang dikeluarkan kerajaan negeri dan kerajaan pusat memerlukan penilaian semula agar tidak berlaku isu kartel dalam mengawal sistem yang diguna pakai oleh kerajaan.

“Monopoli melalui kartel ini akan mewujudkan pemusatan tender kepada satu pihak yang sebenarnya menguasai ratusan syarikat.

“Oleh demikian, kami menyarankan agar isu kartel dalam pelbagai industri perlu disiasat agar pengagihan pasaran dapat bersaing dengan sihat dan saksama dalam menjamin keadilan kepada semua pemain industri,” tegasnya. -MalaysiaGazette