JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor kini memberi tumpuan khusus terhadap penggunaan sains dan data dalam sektor pertanian bagi meningkatkan kecekapan, sekali gus memberi nilai tambah kepada produk pertanian.

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pertanian dilihat sebagai salah satu sektor penting, malah merupakan antara penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 16.2 peratus berjumlah RM16.25 bilion.

Menurutnya, eksport produk pertanian Malaysia ke Singapura sahaja hampir RM8 bilion setiap tahun.

“Data pada tahun 2018 menunjukkan Singapura mengimport lebih kurang 16.4 peratus daripada jumlah makanan mereka dari Malaysia dan angka ini dijangka meningkat setiap tahun.

“Apabila saya menyebut tentang data dan sains untuk menjayakan Agenda Jaminan Bekalan Makanan, kita perlu mengambil langkah setapak ke hadapan. Bukan sahaja sebagai pembekal bahan makanan mentah.

“Malah dengan adanya perkembangan dan penguasaan sains dan data oleh sektor-sektor dalam industri ini, kita boleh menambah nilai dalam pengeluaran produk pertanian dalam negara,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penggerak Utama Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor di Johor Bahru.

Menyedari potensi besar dalam sektor tersebut, Hasni memaklumkan terdapat anak syarikat milik syarikat kerajaan negeri yang sinonim dengan sektor hartanah berminat untuk mengembangkan pelaburannya dalam bidang pertanian.

“Ada syarikat milik kerajaan yang memiliki kira-kira 3,000 ekar tanah di Iskandar Puteri berjumpa dengan Kerajaan Negeri dan menyatakan bahawa mereka hendak melabur dalam sektor pertanian.

“Mereka hendak menanam tomato, cili dan lain-lain tanaman yang terbaik dalam dunia di Iskandar Puteri, iaitu kawasan yang bernilai untuk pembangunan hartanah, kondominium dan sebagainya.

“Hari ini syarikat itu melihat ia adalah pelaburan yang sama pentingnya, nilai pulangannya juga sama sekiranya kita betul-betul beri tumpuan dalam sektor pertanian yang benilai tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni menyeru agensi kerajaan yang terlibat dalam sektor pertanian memantau peruntukan yang diberikan supaya dapat disalurkan dan memberi manfaat bagi membangunkan bidang tersebut.

Sebagai contoh, katanya, Johor menerima peruntukan sebanyak RM35 juta daripada Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi sektor pertanian, katanya.

“Kita ambil pendekatan bahawa kerajaan melabur RM35 juta dalam sektor pertanian. Apabila kita buat pelaburan, bererti kita mahukan pulangan,” katanya. – MalaysiaGazette