PARIS – Seorang lelaki menampar muka Presiden Emmanuel Macron semasa beliau melakukan walkabout di selatan Perancis.

Macron kemudian berkata, beliau tidak gentar terhadap keselamatannya dan tiada apa yang akan menghalang beliau menjalankan tugas.

Dalam rakaman video yang tukar di media sosial, Macron mendekati seorang lelaki bersama kumpulan kecil yang berada di belakang penghadang besi untuk menyapanya ketika beliau melawat sebuah kolej latihan profesional.

Lelaki yang berpakaian baju T menjerit ‘A Bas La Macronie’ (Down with Macronia) lalu menampar muka kiri Macron.

Lelaki itu juga menjerit ‘Montjoie Saint Denis’, pertempuran yang melibatkan tentera Perancis ketika negara itu masih di bawah pemerintahan beraja.

Dua pegawai keselamatan Macron menahan lelaki itu dan mengiring Presiden tersebut beredar dari kawasan itu.

Satu rakaman video yang disiarkan pada akaun Twitter menunjukkan tidak lama selepas itu Macron kembali kepada orang ramai dan bersalaman dengan mereka.

Datuk Bandar, Xavier Angeli memberitahu saluran radio, franceinfo, bahawa Macron menggesa pegawai keselamatannya untuk ‘meninggalkan beliau’ ketika lelaki itu dijatuhkan ke tanah.

Dua individu ditahan, kata seprang anggota polis kepada Reuters.
Identiti individu yang menampar Macron dan motif insiden itu masih tidak jelas.
Slogan yang dijeritkan oleh lelaki itu dikaitkan dengan mereka yang cenderung kepada kumpulan ekstrimis berhaluan kanan di Perancis, kata saintis politik yang mengkaji ekstrimis Perancis, Fiametta Venner kepada rangkaian televisyen BFMTV.

Macron dalam rangka lawatan ke wilayah Drome untuk menemui pengusaha restoran dan pelajar selain bercakap mengenai kembalinya kehidupan normal selepas pandemik Covid-19.