Bekas pesakit Covid-19,, Rauf Cheng.

KUANTAN – Pengalaman dikuarantin sepanjang menjadi pesakit Covid-19 menjelang Ramadan lalu masih segar dalam ingatan Rauf Cheng.

Lebih-lebih lagi apabila lelaki berusia 30 tahun itu mengingati keadaan ketika dia hilang deria bau akibat simptom pandemik berkenaan.

Menurutnya, ketika itu meskipun makan nasi berlauk ikan, ia ibarat rasa makan kertas gara-gara kehilangan deria bau dan rasa.

Mengalaminya selama empat hari menjadikan Rauf fobia dan memandang serius dengan penyakit Covid-19 yang melanda sekarang.

“Hilang deria rasa dan bau itu memang benar dan tidak dapat dinafikan. Makan nasi dan lauk rasa kertas, saya sampai tahap sembur perfume tak rasa bau apa.

“Gigit limau nipis memang tak rasa apa-apa. Alhamdulillah selepas empat lima hari baru deria bau kembali,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Rauf juga berkongsi pengalaman berpuasa di pusat kuarantin dengan mereka yang senasib dengannya.

“Ada yang berpenyakit dan bergejala manakala saya mengalami darah pekat jadi kena ambil ubat cair darah. Pengalaman ditempatkan di pusat kuarantin, rasa hiba kerana bulan puasa, jadi bila takbir raya berkumandang, saya rasa sedih berjauhan keluarga,” ujarnya.

Jelas bapa dua cahaya mata itu, apa yang beliau belajar ialah kepentingan kuarantin kendiri setelah menyedari apabila bergejala seperti demam dengan segera mengasingkan diri demi orang tersayang.

“Apabila kita ada anak kecil dan orang tua di rumah kita perlu belajar berkorban dan mengasingkan diri kerana besar kemungkinan kita menjadi individu yang menyebarkan wabak jika tidak membuat kurantin kendiri,” katanya lagi.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya mendapatkan suntikan vaksin kerana ia benteng pertahanan kepada badan dan orang di sekeliling.

ARTIKEL BERKAITAN :

Kenapa masih dijangkiti Covid 19 selepas vaksin?

25 kluster Covid-19 baharu, 20 babitkan tempat kerja

Tambah Rauf yang menjadi mangsa daripada kluster tempat kerja, stigma masyarakat kepada pesakit Covid-19 semakin baik berbanding peringkat awal sehingga ada dalam mereka dipulau oleh jiran dan rakan sekerja.

“Bagi saya yang menjadi sebahagian daripada barisan hadapan sangat bersetuju apabila kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan penuh  (PKP 3.0) dalam dua hingga empat minggu supaya keluk graf Covid-19 terus menurun.

“Betapa pentingnya SOP di tempat kerja, memang kena mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter, kerap membasuh tangan dan paling penting memakai pelitup muka,” katanya.

Mengenai kesan Covid-19, Rauf mengakui sehingga kini masih merasa mengah-mengah, nafas jadi pendek, cepat rasa penat walaupun baru berjalan 10 tapak selain tidak boleh aktif bersenam seperti sebelumnya. – MalaysiaGazette