Datuk Mohana Muniandy 

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa bertindak segera menangani insiden bunuh diri yang semakin menjadi-jadi  terutama sejak penularan Covid-19.

Bekas Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy  bimbang seandainya fenomena itu berterusan. 

Jelas beliau, pelbagai jenis faktor mendorong perkara itu berlaku termasuklah kehilangan pekerjaan, pengangguran, tanggungan keluarga, hutang keliling pinggang, hilang pendapatan atau tidak ada langsung.

“Malah kita sering sahaja ‘dihidangkan’ dengan berita bagaimana ada antara keluarga atau individu terpaksa berpuasa dari makan, hanya makan sekali sahaja sehari, ada makan tumbuhan liar dan sebagainya.

“Tidak dapat dinafikan Covid-19 juga telah menyumbang kepada risiko membunuh diri, ramai terpaksa berhadapan dengan situasi getir kehilangan pekerjaan dan pendapatan, ketakutan serta stigma masyarakat itu sendiri.

“Bayangkan ada yang sanggup terjun bangunan tinggi, sudah tidak ada ketakutan lagi dalam diri mereka sebaliknya hanya hendak mencari ‘penyelesaian’ untuk masalah serta tekanan dialami.

“Ini lebih menakutkan dari dijangkiti Covid-19 sebenarnya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Mohana lagi, sudah tiba masanya lebih banyak skuad-skuad prihatin rakyat  selain pertubuhan bukan kerajaan tampil melaksanakan lebih banyak program kesedaran kepada umum.

“Ketika ini ramai yang dalam keadaan celaru, kita perlu duduk dalam kasut mereka dan rasa keperitan itu. Apa yang kita boleh lakukan ketika ini adalah mencari jalan memberikan semangat untuk mereka tempuhi kehidupan.

“Ketika menjadi Ketua Wanita dahulu, saya sendiri banyak melakukan sesi kaunseling dan kesedaran untuk golongan berisiko melakukan perkara-perkara seperti ini. Dugaan serta cabaran dilalui oleh mereka ini tidak dapat saya luah melalui kata-kata,” ujarnya.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu menggiatkan penerangan supaya rakyat tahu ke mana hala tuju mereka dan siapa yang boleh dirujuk.

“Bantuan dan sokongan emosi perlu disediakan oleh pelbagai pihak bagi membolehkan seseorang yang mempunyai masalah emosi dan kecelaruan bagi mendapatkan bantuan.

“Juga mohon kepada kerajaan lebih prihatin kepada mereka yang mengalami kesusahan terutama semasa pandemik ini, dengan meringankan beban termasuklah beban kewangan,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Guru tadika terjun Jambatan Kedua P.Pinang alami masalah psikiatri

Dalam pada itu, Mohana berharap institusi kesihatan mental juga agama mengambil peranan dan memperkasakan sistem sedia ada.

“Sebenarnya rakyat juga harus bersikap terbuka menerima hakikat dirinya atau keluarganya mengalami masalah mental dan segera mendapatkan rawatan.

“Kita semua perlu memberi sokongan kepada mangsa-mangsa dan yakinkan mereka bahawa bukan satu dosa atau kesalahan untuk mendapatkan pandangan daripada pihak ketiga. Hentikan stigma itu,” tegasnya. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rugi dalam perniagaan, lelaki terjun dari tingkat 10

Tertekan tiada pekerjaan, lelaki cuba terjun dari tingkat 11

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast