Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cooling Energy Supply Sdn Bhd (CESSB) telah memulakan operasi dan penyelenggaraan loji penyejukan daerah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Julai 2021.

CESSB merupakan syarikat usaha sama (JV) antara anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC) dan anak syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Airport Ventures Sdn Bhd.

Dalam kenyataan hari ini, TNB berkata, di bawah perjanjian konsesi 20 tahun yang dimeterai kedua-dua pihak, CESSB akan mengendalikan, menyelenggara dan menaik taraf loji penyejukan daerah sedia ada yang merupakan antara yang terbesar di Malaysia.

CESSB akan menaik taraf loji berkuasa gas sedia ada kepada loji yang menggunakan elektrik sepenuhnya agar dapat menghasilkan tenaga penyejukan dengan lebih efisien dan mengurangkan kos operasi KLIA sehingga lebih RM50 juta setahun.

“Syarikat usaha sama itu juga akan menjual, mengagih, dan membekalkan tenaga elektrik dan penyejukan kepada pelanggan di KLIA dan sekitarnya menggunakan teknologi yang moden, efisien dan berdaya harap,” katanya.

TNB berkata, CESSB akan menaik taraf loji sedia ada yang berkuasa gas kepada loji yang menggunakan elektrik sepenuhnya dan menghasilkan tenaga penyejukan dengan lebih efisien, seterusnya mengurangkan kos operasi KLIA sehingga lebih RM50 juta setahun.

Menurutnya TNEC adalah pakar dalam bidang kejuruteraan sistem tenaga mampan dan peneraju dalam bidang pembangunan, operasi dan penyelenggaraan loji penyejukan daerah serta projek solar berskala besar dengan rekod cemerlang di Malaysia dan antarabangsa.

“Selain menjalankan operasi dan penyelenggaraan enam loji penyejukan daerah di Malaysia, TNEC juga berjaya membina beberapa loji penyejukan daerah di Malaysia, dua di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu dan tiga projek solar berskala besar di Malaysia,” kata TNB.
Pengerusi TNEC, Lim Fu Yen.

Pengerusi TNEC Lim Fu Yen berkata, kerjasama antara TNB dan MAHB melalui CESSB menyerlahkan aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

“Kami yakin kerjasama ini akan menyumbang dengan ketara dan positif terhadap kepuasan pelanggan bagi penumpang-penumpang yang menggunakan KLIA,” katanya. – MalaysiaGazette