Pasangan pertama yang ditahan bersekedudukan dalam sebuah hotel bajet di Butterworth, awal pagi tadi.

SEBERANG PERAI – Singgah untuk makan dan mahu berehat.

Itu antara alasan diberikan dua pasangan kekasih yang dicekup berkhalwat dalam serbuan berasingan membabitkan dua hotel bajet di sekitar Butterworth di sini, awal pagi tadi.

Empat warga tempatan termasuk seorang berstatus janda itu dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam serbuan Ops Ambang Merdeka yang berakhir kira-kira jam 1 pagi tadi.

Pasangan kedua yang ditahan bersekedudukan di sebuah hotel bajet di Butterworth.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Mohd Azizon Noordin berkata, kesemua mereka yang berusia antara 25 hingga 39 tahun itu didapati bersekedudukan di dalam bilik secara berpasangan.

Jelas beliau, semakan juga mendapati kedua-dua pasangan itu gagal menunjukkan dokumen sah sebagai suami isteri.

Mohd Azizon.

Kata Mohd Azizon, hasil soal siasat awal kedua-dua pasangan itu mendakwa baru sahaja mendaftar masuk ke bilik berkenaan kononnya untuk berehat dan makan.

“Kalau kita lihat alasan yang diberikan keempat-empat suspek itu merupakan alasan biasa dalam kalangan pelaku kesalahan jenayah syariah.

“Pasangan dalam serbuan kedua mendakwa mereka sudah bertunang tetapi ia bukan satu ikatan sah mengikut syarak selain mereka gagal menunjukkan bukti majlis pertunangan.

Kedua-dua pasangan dibawa ke pejabat JHEAIPP untuk tindakan lanjut.

“Masing-masing yang ditahan itu bekerja sebagai kontraktor pembinaan serta pekerja sektor perindustrian,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini, hari ini.

Ops Ambang Merdeka itu turut disertai Polis Daerah Seberang Perai Utara; Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Pihak polis dan JHEAIPP melakukan pemeriksaan rawak di beberapa hotel bajet menerusi Ops Ambang Merdeka.

Menurut Mohd Azizon, pemeriksaan lanjut juga mendapati kebenaran rentas negeri bagi tujuan kerja turut disalah guna pasangan kekasih berkenaan untuk bermalam di hotel bajet tersebut.

“Tiga daripada empat suspek itu bekerja di negeri ini namun menetap di Kedah dan Perak. Jadi mereka gunakan kebenaran rentas negeri bagi tujuan kerja itu untuk menginap di hotel.

“Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Butterworth untuk membuat laporan polis sebelum dibawa pulang ke pejabat JHEAIPP untuk tindakan lanjut.

Pegawai dan anggota penguat kuasa JHEAIPP membuat pemeriksaan di bilik hotel yang ditempah suspek.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 27 Enakmen kesalahan jenayah Syariah negeri Pulau Pinang 1996,” kata Mohd Azizon. – MalaysiaGazette