Dua pelajar semester 2 Tingkatan 6 bersedia menjalani sesi pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Astana, Kuantan.

KUANTAN – Pelajar semester dua tingkatan 6 dan pelajar bekeperluan khas hari ini memulakan sesi pembelajaran secara terbuka.

Ia membabitkan 8,277 pelajar kembali ke 41 buah sekolah di Pahang yang berada pada Fasa 3 Pelan pemulihan Negara (PPN).

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati para pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) manakala polis Kuantan turut membuat pemantau bagi sesi hari pertama kembali ke sekolah.

Bagi Nur Zakira Zakaria, 19, meskipun cabaran ketika melaksankan SOP ketika sesi pembelajaran dalam kelas, namun beliau dapat mengikuti kelas bersama rakan-rakan.

“Rasa gembira kerana sudah lama duduk rumah, seronok jumpa kawan-kawan dapat belajar sama walaupun kena patuhi SOP,” katanya.

Mohd Azrul Afiq Ahmad pula berpendapat terdapat perbezaan ketara ketika belajar secara maya berbanding di sekolah.

“Belajar di sekolah berbeza di rumah, di rumah bosan dan mencabar, tapi bila boleh belajar di sekolah rasa semangat.

Sementara itu, Nor Intan Syafikah Ahmad mengharapkan semua pelajar dapat mengamalkan norma baharu bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 meskipun beliau telah melengkap dua dos vaksin.

“Gembira jumpa cikgu dan boleh rujuk pelbagai perkara, harap pelajar dapat jaga SOP dan kesihatan walaupun kita semua sudah dapat vaksin.

Bagi seorang bapa, Datuk Azlan Muzin mengharapkan ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka telah menerima vaksin.

“Semua ibu bapa gembira apabila beralih Fasa 3 PPN di Pahang ini membolehkan pengoperasian sekolah berjalan semula,” katanya. – MalaysiaGazette