Masyarakat orang asli suku temuan menerima suntikan vaksin pada Program Pemberian Vaksin Bergerak di Balai Raya Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 08 Julai 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 115,516 atau 67 peratus masyarakat Orang Asli telah divaksin setakat ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, lebih kurang 56,000 lagi masyarakat itu yang masih belum divaksin.

“Ada lagi yang belum mendapat vaksin ni dalam lebih kurang 56,000, jadi kita sedang berusaha dengan pelbagai caralah.

“Salah satu yang kita buat diperingkat kementerian ini adalah kita buat melalui outreach iaitu kita yang pergi cari, melalui Mara kita ada bas Mara Liner, kita tukar bas Mara Liner tu jadi macam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, tumpuan program vaksinasi di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu adalah di negeri-negeri seperti Perak, Pahang dan Kelantan yang mempunyai bilangan Orang Asli yang ramai.

Seramai 172,155 Orang Asli layak divaksin.

Jumlah itu membabitkan Orang Asli dewasa seramai 144,180 orang dan 27,975 golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Jelasnya, Program Vaksinasi Orang Asli ditetapkan mencapai 100 peratus pada akhir bulan November tahun ini.

“Kita akan teruskan program outreach ini untuk membolehkan kita dapat semua sekali.”

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, majoriti masyarakat Orang Asli menerima baik Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Mereka belum dapat vaksin, bukan menolak, sebab nak sampai mereka ni tinggal jauh di pedalaman, jadi kita sedang usahakan, pegawai JAKOA sedang berusaha untuk membuatnya, ada tempat yang nak pergi sehingga empat jam, ada yang Yang Berhormat Timbalan Menteri terpaksa pergi dengan helikopter,” tambah beliau. – MalaysiaGazette