PUTRAJAYA, 12 Oktober 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil tindakan ke atas seorang peniaga yang disyaki menjalankan perniagaan dan promosi secara dalam talian produk daging rusa melalui satu platform e-dagang.

Tindakan itu dijalankan selepas menerima aduan daripada seorang pengguna berkaitan daging tersebut disyaki bukan daging rusa sebenar seperti yang dipromosikan oleh peniaga terbabit di dalam platform perniagaan dalam taliannya.

Bertindak ke atas aduan itu, KPDNHEP telah menjalankan siasatan dan melakukan uji beli daging rusa tersebut dan sampel daging rusa itu telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian kecerakinan ke atas sampel daging rusa terbabit.

Hasil laporan kimia yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kimia Malaysia mendapati, sampel daging rusa tersebut adalah merupakan daging kerbau berdasarkan DNA yang dikesan melalui sampel itu dan bukan daging rusa seperti yang dipromosikan oleh peniaga terbabit kepada pengguna melalui perniagaan dalam taliannya.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Azman Adam berkata, susulan daripada laporan tersebut, sepasukan anggota Penguatkuasa KPDNHEP telah bertindak melakukan serbuan ke atas premis terbabit di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor.

Hasil pemeriksaan itu, pasukan serbuan telah menemukan beberapa ketul daging sejuk beku yang dinyatakan daging rusa oleh pemilik premis di
dalam sebuah peti sejuk beku dalam bentuk ketulan seberat 1 kilogram setiap satunya.

Kesemua daging tersebut bersama dokumen-dokumen perniagaan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,004.00.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, modus operandi peniaga terbabit adalah menjual dan mengiklankan daging rusa sejuk beku secara dalam talian untuk pasaran tempatan pada harga RM42 sekilogram.

Azman berkata, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(1)(b) Larangan Perihal Dagangan Palsu iaitu membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda – jika individu itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM25,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM50,000.

Jika individu orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

KPDNHEP memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti perniagaan sama ada secara dalam talian mahupun fizikal.

”Jangan membuat sebarang pengiklanan yang boleh mengelirukan pengguna dengan niat untuk melakukan penipuan dan pengguna juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati di dalam melakukan pembelian sama ada secara dalam talian atau fizikal agar tidak terpedaya dengan tawaran dan iklan yang mengelirukan oleh segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette