Hishammuddin Hussein Kelantan Sarawak Phase 4 PPN National Recovery Plan
Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Persefahaman dengan negara ASEAN akan membantu Malaysia berdepan dengan segala perancangan dari dua kuasa besar iaitu China dan Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Lebih-lebih lagi ketika Malaysia menangani pakatan keselamatan tiga negara iaitu Australia, United Kingdom dan AS (AUKUS).

Katanya, tanggungjawab Malaysia ketika ini dan selama-lamanya adalah sentiasa memastikan rantau ASEAN ini stabil, tidak kira apa saja pertimbangan dari kuasa besar sama ada China atau AS.

“Memandangkan Malaysia berada dalam situasi yang cukup strategik, sebab itu persefahaman di ASEAN akan membantu kita berdepan dengan kedua-dua  kuasa besar ini

“Penting untuk kita berdepan dengan dua kuasa ini secara dekat, tetapi solidariti dengan 10 negara dalam rantau ASEAN ini tidak boleh berpecah.

“Sebab itu, kalau ditanya pendirian kita, sebenarnya banyak bergantung kepada mesyuarat dengan 10 negara ini bulan depan. Kita akan duduk dan berkumpul, kalau kita dapat satu pendirian bersama yang jelas, ini akan membantu kita berdepan dengan dua kuasa besar itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen, pagi ini.

Terdahulu, Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) bertanyakan pendirian terkini kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan berkaitan isu Pakatan keselamatan tiga negara yang telah diwujudkan antara AS, UK dan Australia.

Menurut Hishammuddin, Malaysia tetap konsisten dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mana pembentukan AUKUS melahirkan kegusaran kerana berpotensi mengganggu-gugat keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.

Tegas beliau, ia juga bakal memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama Laut China Selatan.

“Pendirian ini tidak berganjak walaupun selepas saya bertemu dengan Utusan Khas Australia dan sebelum itu saya juga mengadakan perbualan telefon bersama Menteri Pertahanan Australia.

“Dalam dua pbincangan ini, saya telah menegaskan bahawa Malaysia tidak mahu diheret dalam jiwa politik pertimbangan kuasa-kuasa besar di rantau ini.

“Saya juga tekankan, sebagai sebuah negara ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan rantau ini zon aman, bebas dan berkecuali dan Australia harus menghormati prinsip ini dan pendirian Malaysia,” katanya.

Katanya, beliau juga memaklumkan sekiranya kapal perang atau kapal selam berkuasa nuklear memasuki wilayah perairan Malaysia atau berhasrat memasuki pelabuhan atau mahu melaksanakan latihan ketenteraan bersama, persetujuan khas daripada Menteri Pertahanan Malaysia mestilah terlebih dahulu diperolehi. – MalaysiaGazette