face mask parliament Tajuddin Abdul Rahman fined compound SOP
Mohd Rashid Hasnon

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat menolak usul daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan isu Pandora Papers yang dikatakan mengaitkan ramai pemimpin politik negara termasuk pembangkang.

Namun, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, mengikut Perkara 43 Peraturan Mesyuarat, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson perlu mengemukakan usul itu dalam tempoh dua hari.

Bagaimanapun Anwar mencelah menyatakan, beliau telah mengemukakan usul itu kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun semalam, tetapi ditolak.

“Mengikut Perkara 43 Peraturan Mesyuarat, saya telah kemukakan usul itu kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat semalam.

“Sehingga hari ini, saya belum mendapat jawapan, tetapi saya nak tegaskan di sini, semalam Menteri Kewangan ada menyebut Bank Negara Malaysia (BNM) bersedia memberi kerjasama kepada semua agensi penguatkuasa atau penyiasatan.

“Tetapi, belum ada sebarang kenyataan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), polis (Bahagian Jenayah Komersil) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perbahasan ini penting kerana 119,000 daripada 19.9 juta dokumen Pandora Papers terkait dengan warga Malaysia,” katanya yang tidak berpuas hati dengan penolakan awal usulnya oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Mohd Rashid, beliau telah meneliti apa yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Port Dickson itu, tetapi ketika ini bukan sesi perbahasan dan mesyuarat ke-14 Parlimen akan berakhir petang ini.

Katanya, beliau telah merujuk semula kepada Peraturan 43, kalau celahan ditolak, dibolehkan untuk dikecualikan keluarkan usul.

“Maknanya, saya mohon hitam putih daripada Port Dickson untuk menulis usul itu,” katanya.

Anwar menjawab beliau sudah menulis usul itu mengikut Peraturan 43 dan sambil menunjukkan salinan itu kepada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Rashid berkata, beliau faham usul sudah dihantar oleh Anwar dan telah diterima semalam, tetapi mengikut Peraturan 43, perlu notis dua hari.

“Oleh itu, usul Port Dickson masih dalam pertimbangan mengikut tempoh mesyuarat,” katanya.

Ketika ini beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun menyuarakan rasa tidak puas hati dengan jawapan Mohd Rashid.

Persidangan Parlimen penggal ke-14 akan berakhir hari ini dan ditangguhkan pada suatu tarikh yang belum ditetapkan. – MalaysiaGazette