Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Kebangsaan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Dalam Bajet 2022 yang diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam ada  sekurang-kurangnya 25 insentif untuk golongan belia dan anak muda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, kekeliruan berhubung bajet itu timbul kerana tidak mempunyai tajuk khusus untuk belia berbanding Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan wanita.

“Terdapat kekeliruan semalam apabila Bajet 2022 diumumkan, bajet itu memang merentasi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama, etnik, kedudukan di bandar atau luar bandar, Sabah, Sarawak dan negeri semenanjung, semuanya dapat faedah.

“Rata-rata saya percaya rakyat gembira dengan bajet itu. Cuma dari segi laporan media yang saya baca hari ini, terdapat sedikit kekeliruan mengenai golongan belia atau pun anak muda.

“Mereka mendakwa tidak ada peruntukan untuk belia dalam Bajet 2022, kerana tidak ada tajuk khusus di bawah bajet untuk orang muda. Itu sahaja,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Hari Belia Negara di sebuah hotel hari ini.

Menurut Ismail Sabri, peruntukan untuk belia telah dimasukkan dalam tajuk lain antaranya peluang pekerjaan kepada 600,000 anak muda yang termasuk dalam tajuk Jaminan Kerja.

Katanya, peluang pekerjaan itu semuanya untuk belia dan anak muda, begitu juga dengan Perantis Siswa, ianya bawah kategori Kementerian Pengajian Tinggi, tetapi disebut membangun untuk siswa B40.

Sedangkan, ujar Ismail Sabri, kategori itu juga untuk belia berumur 18 hingga 20 tahun yang bukan siswa.

“Insentif untuk belia di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dimasukkan dalam status bujang yang akan menerima RM350 tunai, manakala yang lain terima bantuan dari bentuk lain seperti peluang pekerjaan.

“Kerajaan memang menghargai peranan belia dan kita akan terus menjaga kepentingan mereka. Jadi, tak perlu bimbang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast