Hasni Mohammad
MERSING- Bajet 2022 bagi negeri Johor yang bakal dibentengkan pada Jumaat ini akan memberi tumpuan terhadap usaha memulihkan ekonomi pasca Covid-19 dengan  mengambil kira kepentingan pelbagai pihak.
Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri sedia maklum mengenai cabaran yang dihadapi rakyat ekoran ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang melanda sejak dua tahun lalu.
“Ancaman Covid-19 yang kini beransur pulih bukanlah bererti bahawa ekonomi kita
turut pulih sepenuhnya, tentunya tidak.
”Oleh itu, sesi libat urus ini bertujuan untuk berbincang bersama-sama kepimpinan daerah bagi menghasilkan bajet sempurna dan bersifat menyeluruh.
“Kita akan membantu rakyat dengan memastikan pemulihan ekonomi, khususnya memperkasakan industri kecil dan sederhana (IKS) dengan memperbanyakkan pinjaman untuk mereka memulakan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan sempena Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka Felda Tenggaroh 1 dan Tenggaroh 7 serta beberapa bantuan lain di sini.
Hasni berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan rakyat yang kehilangan pekerjaan diberi peluang baharu dengan menyediakan pelbagai kemahiran ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ supaya mereka boleh bekerja, sekali gus ekonomi dapat dijana semula.
Dalam pada itu, Hasni berkata, daerah Mersing mempunyai pelbagai potensi, khususnya daripada segi sektor pelancongan marin.
Daerah itu sangat berpotensi untuk dibangunkan pusat pengajian tinggi berasaskan bidang marin.
“Menerusi kewujudan pusat pengajian ini, ia bakal menyerlahkan khazanah negeri ini,
selain memberi peluang kepada pembangunan setempat,” kata Hasni. – MalaysiaGazette