Jagdeep Singh Deo

GEORGE TOWN – Sebanyak 4,683 buah rumah yang telah siap dibina membabitkan nilai RM3.66 bilion masih belum terjual di negeri ini.

Jumlah itu sekali gus meletakkan Pulau Pinang pada kedudukan kedua tertinggi yang memiliki rumah tidak terjual selepas Johor sebanyak 6,509 unit (RM4.89b); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 3,863 unit (RM3.1b) dan Selangor, 3,367 unit (RM2.9b). 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, daripada jumlah unit rumah tidak terjual itu, hanya 347 unit atau tujuh peratus merupakan rumah mampu milik berharga RM300,000 dan ke bawah. 

Jelas beliau, berdasarkan data tersebut kerajaan negeri juga sentiasa mengingatkan golongan pemaju untuk memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik di bawah harga RM300,000.

“Kita kawal harga rumah mampu milik supaya tidak melebihi harga ditetapkan iaitu di bawah RM300,000 kerana jika dibiarkan di pasaran terbuka harga unit ini akan dijual lebih mahal. 

“Impak daripada kawalan itu kita mendapati rumah mampu milik yang tidak terjual di Pulau Pinang ketika ini hanya tujuh peratus berbanding 93 peratus unit rumah lain-lain,” kata pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. 

Mengulas lanjut Jagdeep berkata, dalam keadaan ekonomi terjejas akibat Covid-19 pemaju sepatutnya mengambil peluang membina lebih banyak rumah mampu milik.

“Apa guna mereka membina rumah berharga RM300,000 ke atas atau sehingga mencecah RM1 juta sekiranya tidak boleh terjual di sebabkan pembeli tidak berkemampuan?

“Kerajaan negeri akan sentiasa meletakkan agenda merumahkan setiap rakyat Pulau Pinang mengikut kemampuan kewangan terutamanya golongan B40 dan M40 dan ia diterjemahkan melalui penetapan sasaran pembinaan sebanyak 220,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) menjelang tahun 2030 bagi memenuhi hasrat 1 Keluarga 1 Kediaman,” katanya. – MalaysiaGazette