Jaringan pertama Malaysia dijaringkan oleh Mohd Safawi Rasid menerusi sepakan penalti pada minit ke-23 selepas Akhyar Rashid dikasari di hadapan pintu gol Kemboja.- Gambar Sumber Persatuan Bolasepak Malaysia.

KUALA LUMPUR – Pasukan bola sepak negara menepati ramalan menang ke atas Kemboja 3-1 pada perlawanan pertama Piala AFF Suzuki 2020 hari ini.

Jaringan pertama Malaysia dijaringkan oleh Mohd Safawi Rasid menerusi sepakan penalti pada minit ke-23 selepas Akhyar Rashid dikasari di hadapan pintu gol Kemboja.

Walaupun pada separuh masa kedua, Kemboja dilihat sudah menemui rentak apabila sering menguasai bola, tindakan Akhyar tidak melepaskan peluang apabila berjaya merembat untuk gol kedua pada minit ke-61.

Pemain gantian R. Kogileswaran meletakkan Malaysia di kedudukan yang terbaik apabila menjaringkan gol pada minit ke-78.

Namun beberapa minit sebelum permainan tamat, penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat dilayangkan kad kuning apabila mengangkat kaki ke atas pemain lawan.

Kemboja mendapat sepakan penalti pada minit ke-90.

Keputusan perlawanan pertama, Malaysia berada pada kedudukan terbaik.

Piala AFF Suzuki tahun ini diadakan di Singapura dengan Malaysia berada dalam kumpulan B bersama Indonesia, Kemboja, Vietnam dan Laos. – MalaysiaGazette