Pembunuhan Wartawan terkemuka Arab Saudi, Jamal mencetuskan kecaman antarabangsa. Foto Kredit: Reuters

LONDON – Polis Perancis telah menangkap seorang lelaki warga Arab Saudi yang disyaki antara suspek kumpulan yang bertanggungjawab membunuh wartawan, Jamal Khashoggi.

Suspek dikenalpasti sebagai Khalid Alotaibi telah ditahan di lapangan terbang utama Paris ssmalam, selepas tiga tahun pembunuhan itu berlaku di konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki.

Sumber berkata, polis sempadan Perancis telah memberkas suspek berusia 33 tahun itu semasa dia memasuki pesawat untuk berlepas ke Riyadh dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris.

Lelaki itu dijangka dihadapkan di mahkamah pada Rabu dan berkemungkinan akan dihantar ke Turki untuk menghadapi tindakan undang-undang di negara tersebut.

Sebelum ini Istanbul telah mengeluarkan waran tangkap terhadap beberapa individu yang disyaki terlibat dengan pasukan upahan yang dikatakan membunuh wartawan warga Arab Saudi itu yang mana mayatnya gagal dikenalpasti sehingga kini.

Pada 2020, seorang mahkamah Turki membicarakan 20 suspek tanpa hadir berhubung pembunuhan Khashoggi, termasuk dua bekas pembantu Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Pendakwa raya Turki kemudian mendakwa enam lagi suspek warga Arab Saudi atas pembunuhan itu pada akhir 2020, tetapi tiada pegawai Arab Saudi pernah menghadapi tuduhan pembunuhan itu. – MalaysiaGazette