Pemain kesebelasan utama negara menentang skuad Indonesia di Stadium Nasional Singapura, hari ini. Foto: Facebook FAM

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya melabuhkan tirai kumpulan B dengan kekalahan 4-1 kepada Indonesia dalam Piala Suzuki AFF yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura, hari ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu menampilkan aksi bergaya pada awal perlawanan apabila pemain tengah negara, Kogileswaran Raj berjaya merembat gol jarak jauh pada minit ke-13 menewaskan penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata.

Namun, kerancakan itu tidak bertahan lama apabila pemain tengah pasukan Garuda, Irfan Jaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36.

Sebelum tamat aksi separuh pertama, Irfan Jaya sekali lagi menambahkan jaringan kedua setelah jentera pertahanan negara tidak mengawal ketat pemain lincah itu.

Pada separuh masa kedua, skuad negara masih tidak mampu bangkit apabila mudah diterkam Indonesia melalui tambahan jaringan daripada pemain pertahanan, Pratama Arhan pada minit ke-50 di luar kotak penalti.

Skuad Garuda Pancasila di bawah kendalian jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-Yong tampak lebih berbisa apabila sekali lagi membenam kem negara untuk gol keempat dengan tandukan padu oleh pemain pertahanan kacukan Indonesia, Elkan Baggott pada akhir babak kedua.

Skuad Malaysia menamatkan saingan pada kedudukan ketiga kumpulan di bawah Vietnam dan Indonesia apabila terkandas ke separuh akhir dengan kekalahan kepada musuh tradisi dalam perlawanan sebentar tadi.

Pentas separuh akhir bakal menyaksikan Sang Garuda itu menentang Singapura manakala skuad Gajah Putih dijadualkan bertemu dengan Vietnam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast