Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melonggarkan rangka kerja dana unit amanah, dengan membolehkan dana runcit melabur dan menawarkan rangkaian instrumen dan aktiviti pelaburan yang lebih luas.

Syarikat pengurusan akan berupaya membangunkan lebih banyak produk inovatif di samping memastikan perlindungan pelabur yang mencukupi.

Rangka kerja baharu itu turut menyokong ekosistem pelaburan yang lebih dipelbagai dan memangkin penawaran produk sebagai sebahagian daripada penyelesaian pengurusan kekayaan dalam memenuhi objektif persaraan pelabur, termasuk penawaran produk penyahkumpulan (decumulation) kekayaan.

Kelonggaran ini juga selaras dengan aspirasi Pelan Induk Pasaran Modal 3 untuk menjadi pasaran modal yang relevan, cekap dan dipelbagai dalam tempoh lima tahun akan datang, sekali gus memberi manfaat kepada setiap pihak berkepentingan.

Dana unit amanah terus menjadi komponen terbesar dalam industri Skim Pelaburan Kolektif Malaysia. Sehingga 31 Oktober 2021, terdapat 39 syarikat pengurusan yang diperbadankan di Malaysia telah diluluskan untuk menawarkan 734 dana unit amanah dengan jumlah nilai aset bersih (NAB) sebanyak RM551.36 bilion.

“Penambahbaikan ini akan membolehkan dana runcit memberikan penawaran yang dipelbagaikan untuk memenuhi permintaan dan kesanggupan ambil risiko pelbagai pelabur. Ini akan menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan syarikat pengurusan unit amanah di samping membolehkan pelabur mengimbangi semula objektif jangka pendek dan panjang mereka dengan tawaran pelaburan yang lebih dipelbagai,” kata Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar.

Lebih penting lagi, ini akan merapatkan jurang kawal selia antara penawaran domestik dan antarabangsa dan membolehkan dana tempatan kekal berdaya saing dalam menghadapi persekitaran pasaran yang pesat berkembang.

Pindaan dalam Garis Panduan Dana Unit Amanah (Garis Panduan) akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2022.

Pindaan kepada Garis Panduan tersebut mengambil kira dapatan SC berikutan pelaksanaan menanda aras yang meluas dan maklum balas yang
diterima daripada proses perundingan awam. Selain itu, SC telah mengadakan libat urus bersama pemegang kepentingan utama bagi memastikan kelancaran dalam pelaksanaan pindaan-pindaan tersebut.

Pindaan utama kepada Garis Panduan yang dipertingkatkan itu termasuk memperluas senarai pelaburan yang dibenarkan oleh dana unit amanah, mempertingkat proses operasi dalam menguruskan dana dan memberikan lebih kejelasan tentang keperluansedia ada kepada peserta pasaran.

Langkah lain termasuk membenarkan dana unit amanah menjalankan lebih banyak aktiviti bagi tujuan pengurusan portfolio yang cekap.

Keperluan pengurusan risiko di peringkat organisasi dan dana juga telah diperkukuh, termasuk keperluan agar maklumat dana disediakan di laman web syarikat
pengurusan.

Pindaan turutan kepada Garis Panduan Skim Persaraan Swasta dan Garis Panduan Dana Dagangan Bursa juga akan dilaksanakan, dengan pengubahsuaian yang sewajarnya. – MalaysiaGazette