Lim Chee Sing

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Lim Chee Sing sebagai anggota luar bagi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).

Tempoh pelantikan ini adalah selama dua tahun, berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Chee Sing berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif dan Pengerusi RHB Research Institute Sdn Bhd dari tahun 2013 hingga 2017.

Beliau juga merupakan Ketua Ekonomi RHB Banking Group dan ahli strategi pasaran ekuiti untuk pasaran Malaysia di RHB Research Institute.

Chee Sing memulakan kerjaya beliau sebagai ahli ekonomi di BNM pada tahun 1981 selama hampir 11 tahun.

Selepas itu, beliau yang berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang ekonomi dari Universiti Malaya menyertai RHB Research Institute sebagai ahli ekonomi serantau dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Penyelidik.

BNM juga mengumumkan penamatan perkhidmatan Datuk Dr. Gan Wee Beng sebagai anggota luar MPC pada 1 April 2022 selepas berkhidmat sejak 1 April 2019. – MalaysiaGazette