DS ISMAIL SABRI
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA – Skuad Harimau Malaya perlu mencontohi kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan Vietnam yang kini mereka menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022.

Sedangkan pada tahun 2006, pasukan Vietnam hanya menduduki ranking 172 di dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, apa yang membezakan Malaysia dengan negara itu adalah pembangunan bola sepak di peringkat awal.

“Kunci kepada peningkatan prestasi pasukan Vietnam ialah Akademi Hoang Anh Gia Lai yang menjalinkan kerjsama dengan pasukan Arsenal, sekolah bola sepak Perancis JMG Academy dan sokongan konglomerat Vietnam.

“Jika kita memperhebatkan program pembangunan seperti akademi yang bermula daripada daerah dan seterusnya negeri, kita juga akan dapat melahirkan pemain-pemain yang bagus dan berbakat besar,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin melakukan gimik Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini hari ini.

Turut hadir beberapa barisan menteri Kabinet dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Ismail Sabri menambah, Peta Hala Tuju atau F:30 yang dilancarkan pada 2018 adalah simbol kesungguhan FAM dalam melaksanakan pelan menyeluruh ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bola sepak yang disegani.

Jelas beliau, sasaran utama F:30 itu adalah menjadikan pasukan negara sebagai salah satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030.

“Sasaran ini mampu dicapai dengan syarat pucuk pimpinan FAM sentiasa menambah baik hala tuju dalam tempoh 12 tahun ini dari semasa ke semasa dan tidak lari daripada objektif asal mereka.

“Seorang pemain bola sepak yang berbakat perlu dibimbing oleh jurulatih yang terbaik dari usia muda. Seorang jurulatih pula perlu mendapat tunjuk ajar daripada instruktur atau jurulatih pakar.

“Proses ini bukanlah satu rahsia besar tetapi menjadi formula kejayaan untuk mana-mana pasukan.

“Dengan kemahiran teknikal yang dimiliki hasil daripada bimbingan jurulatih yang hebat, ia sekaligus meningkatkan kebolehpasaran pemain bukan sahaja di liga tempatan malah ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Model bangunan FAM pada Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menyarankan kelab bola sepak di negara ini mencontoh pasukan Chelsea atau The Blues yang berpangkalan di Stamford Bridge, England.

Menurut beliau, ekosistem pasukan Liga Perdana Inggeris itu cukup lengkap kerana akademi mereka mengendalikan pasukan yang dianggotai pemain semuda 9 tahun hingga 23 tahun.

“Satu ekosistem yang menuntut pembabitan jurulatih, pengurusan kelab dan sokongan ibu bapa.

“Selain meningkatkan kemampuan teknikal, kelab itu juga membangunkan daya kebolehpasaran serta kualiti pemain yang menyarung jersi biru itu.

“Ini yang patut dicontohi oleh kelab-kelab bola sepak di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendengar penerangan daripada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.