Peserta himpunan bersama peguam hadir untuk memberi keterangan berkaitan program Undur Azam Baki di IPD Brickfields, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 24 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai lapan individu yang terlibat dengan penganjuran Himpunan Tangkap Azam Baki di ibu negara pada Sabtu lepas dilihat keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields selepas diambil keterangan lebih dua setengah jam.

Mereka yang dipanggil untuk disoal siasat antaranya adalah Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Howard Lee; Ahli PKR dan aktivitis, Adam Adli; Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya; Naib Presiden Parti Muda, Dr Thanussha Francis Xavier; Ketua Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Abu Hafiz Salleh Hudin; Naib Ketua Pemuda Amanah, Zubair Rahim; Pengarah Strategi Amanah, Asmaalif Abdul Adam dan Ahli DAP, Mandeep Singh.

Kesemua mereka yang masing-masing ditemani peguam berjalan keluar dari IPD itu pukul 4.45 petang dalam keadaan hujan dan kemudian meluru ke arah petugas media yang menunggu lebih awal sebelum kehadiran mereka di situ.

Peguam yang mewakili salah seorang daripada mereka, Kamil Munim berkata, pihaknya menerima arahan daripada pegawai penyiasat semalam supaya 12 orang daripada penganjur himpunan tersebut hadir ke IPD berkenaan petang ini.

Bagaimanapun katanya, hanya lapan orang sahaja yang dapat menghadirkan diri untuk sesi itu kerana ada yang mempunyai pelbagai urusan serta berada berada di luar Kuala Lumpur.

Kamil Munim

Tambahnya, pihak polis telah memberi tarikh dan masa lain untuk mereka menghadirkan diri.

“Kes bagi hari ini disiasat mengikut dua kejadian, pertama malam pada 21 Januari iaitu di Restoran Amjal, Pentas Anak Muda dan juga berkaitan perhimpunan yang berlangsung di Bangsar.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan, Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman dan juga Peraturan 9, 10, 17 di bawah Peraturan Akta Penyakit Berjangkit,” katanya.

Tambah beliau, kesemua yang hadir telahpun memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis dan kes itu dianggap selesai dengan kehadiran mereka.

Katanya, polis akan memanggil lapan lagi individu berhubung perkara yang sama namun, tidak diketahui bila masa dan tarikhnya.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Rajsurian Pillai menyifatkan siasatan yang dilakukan polis terhadap anak guamnya sebagai membuang masa.

Ujarnya, ia bukan sahaja membazirkan masa pihak berkuasa untuk menyiasat kes yang membabitkan seorang individu (Azam Baki) tetapi turut membazirkan masa kesemua yang diminta hadir untuk diambil keterangan.

Rajsurian Pillai

“Saya dimaklumkan ada lebih kurang 50 orang lagi yang dicari oleh polis setakat ini dan mereka adalah individu-individu yang telah diperiksa di LRT Bangsar pada pagi 22 Januari,” katanya.

Pandangan sama turut dilemparkan Thanussha apabila memberitahu, siasatan itu memang membuang masa kerana bukan sahaja pegawai penyiasat dari IPD Brickfields melakukan siasatan, sebaliknya ia turut melibatkan pegawai penyiasat dari IPD Dang Wangi dan Sentul.

“Jika dibandingkan dengan siasatan yang melibatkan Azam Baki, adakah siasatan yang djalankan terhadap beliau setanding ketelusannya,” soalnya.

Dr Thanussha Francis Xavier

Terdahulu, sekumpulan pengamal media berada di hadapan IPD berkenaan sejak pukul 1 tengahari bagi membuat liputan mengenai perkembangan siasatan kes tersebut.

Kesemua yang dipanggil muncul pada pukul 2 petang dan pada mulanya memaklumkan kepada media mereka tidak mengetahui tujuan dan sebab dipanggil ke IPD itu.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan polis memeriksa butiran diri kira-kira 40 individu termasuk 12 aktivis yang hadir pada perhimpunan program Pentas Anak Muda #TangkapAzamBaki anjuran Pemuda Amanah Nasional di Dewan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, di sini.

Hasil siasatan awal polis mendapati semua individu terbabit dipercayai berhimpun kira-kira pukul 9 malam pada Jumaat lalu bagi mengajak orang ramai hadir pada perhimpunan yang diadakan berhampiran Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast