Mohd Imran (tengah) menyampaikan beg sekolah kepada murid yang akan memulakan persekolahan minggu depan.

KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan pendidikan bernilai RM210,000 kepada kira-kira 1,400 murid dan institusi pengajian tinggi (IPT) di Tanjung Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam.

Peruntukan itu disalurkan sempena dengan pembukaan semula sesi persekolahan serta pengajian semester di universiti.

Daripada peruntukan itu, RM110,000 disediakan kepada pelajar yang telah menerima tawaran kemasukan melanjutkan pelajaran di peringkat universiti yang memulakan pengajian di semester baru.

Manakala RM100,000 lagi untuk murid yang bakal memulakan sesi persekolahan Mac ini.

Majlis itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin, yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR merangkap Pengerusi Kelab Belia Wanita Muda Sungai Besar, Widiawati Abudzar.

Misi YBR ialah membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan yang tinggal di kawasan luar bandar, pedalaman dan miskin bandar.

Di samping, memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi serta dapat meringankan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Program bantuan seperti itu sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar IPT serta murid sebelum mendapat mana-mana bantuan atau dana dalam meneruskan pengajian sedia ada dan juga sesi persekolahan.

Diharapkan juga inisiatif bantuan pendidikan itu menjadi pendorong kepada organisasi lain untuk turut sama membantu tanpa mengira bentuk atau nilai sumbangan.

Program seumpama itu membuktikan syarikat korporat turut mengambil berat kepada mereka yang memerlukan.

Bantuan awal pengajian misalnya, berobjektifkan untuk membantu pelajar dari keluarga kurang bermampuan terutama B40 dalam memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Prihatin dengan sesi persekolahan 2022 yang bakal bermula, bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 bagi persiapan persekolahan diharapkan dapat membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan awal untuk anak-anak.

Sehingga kini, seramai 3,277 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan RM2.2 juta sejak dari tahun 2017. – MalaysiaGazette