Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada Majlis Pelancaran Hari Terbuka (GLC) 2022 di Pusat Konvesyen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 11 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) antara penyumbang kepada pengukuhan ekosistem ekonomi negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, GLC dan GLIC dilihat membantu pembangunan sosio-ekonomi Malaysia selama hampir lima dekad dan sehingga kini khususnya ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Jelas beliau, GLC dan GLIC sentiasa menyokong usaha kerajaan bagi mempercepatkan pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Pandemik Covid-19 telah mengubah hidup dan cara kita beroperasi secara total, sama ada di peringkat individu mahu pun perniagaan.

“Ia juga telah menyerlahkan pelbagai kelemahan yang telah lama bertapak di dalam struktur sosio-ekonomi kita,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Hari Terbuka GLC 2022 yang disempurnakan oleh  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Jelas Zafrul, sehingga kini, ekosistem GLC dan GLIC merangkumi sekitar RM445 bilion atau 25 peratus permodalan pasaran Bursa Malaysia.

Dalam masa yang sama tambah beliau, GLC dan GLIC menyumbang kepada menyediakan peluang pekerjaan kepada 500,000 rakyat selain menjadi membantu dalam bidang rantaian bekalan negara.

Sehubungan itu beliau berpendirian, GLC dan GLIC perlu dipekasakan bagi membantu kerajaan menangani isu-isu struktur.-MalaysiaGazette