Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir rayuan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan Putrajaya pagi ini.

PUTRAJAYA – Rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes penyelewengan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International (SRC International) bersambung di Mahkamah Persekutuan pagi ini.

Seperti biasa, Najib tiba lebih awal walaupun prosiding bermula pada jam 10.10 pagi.

Prosiding bermula dengan peguam bela, Harvinderjit Singh mengemukakan hujahnya di hadapan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat tentang bukti baharu tentang penglibatan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Semalam, peguam yang mengetuai pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, Mahkamah Rayuan sepatutnya memerintahkan kes itu dibicarakan semula dan permohonan beliau untuk mengemukakan bukti baharu didengar di hadapan panel lain.

Ini keran, katanhya, panel terdahulu yang terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera telah dipengaruhi untuk menutup minda mereka daripada mendengar permohonan yang dikemukan pada Disember tahun lalu.

Pada ada November 2021, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan mengenai aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diperoleh semula selepas Kerajaan Singapura memulangkan AS$15.4 juta kepada kerajaan Malaysia yang mana wang tersebut mempunyai kaitan dengan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) milik suami Zeti, Datuk Dr Tawfiq Ayman.

Menggunakan isu itu, Najib memohon untuk memasukkan bukti baharu dalam kes rayuan SRC International yang telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun selain denda RM210 juta ke atas beliau.

Namun Mahkamah Rayuan menolak permohonan bekas Perdana menteri itu dengan alasan beliau gagal memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman bahawa bukti baharu diperlukan demi keadilan dalam kes tersebut.

Ini menyebabkan mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International selepas menolak rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Ketika ini, Najib sedang merayu permohonan keputusan itu di Mahkamah Persekutuan di hadapan lima panel hakim termasuk Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh.

Semalam, pasukan pendakwaan menyatakan tiada perkaitan bukti antara dana yang diterima oleh Tawfiq daripada 1MDB pada 2008 dengan dana SRC International yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Hujah Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk V. Sithambaram, SRC International tidak wujud ketika Tawfiq menerima wang daripada dana kekayaan negara itu pada 2008. 

Semalam, Muhammad Shafee mendedahkan peranan bekas hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar dan menjatuhkan hukum kepada Najib, Mohd Nazlan pada Julai 2020 merupakan  penasihat undang-undang kepada Kumpulan Maybank pada 2012 yang mana kumpulan perbankan itu memberi pinjaman lebih RM4 bilion kepada 1MDB.

Mohd Nazlan pernah menghadiri mesyuarat kumpulan perbankan itu, malah beliau didakwa arif tentang perjalanan kewangan 1MDB namun tidak pernah mendedahkan peranannya itu ketika menjadi mengendalikan kes SRC International yang merupakan anak syarikat 1MDB.

Kata Muhammad Shafee, Mohd Nazlan sepatutnya menjadi saksi penting bagi perbicaraan 1MDB dan sekiranya hakim itu tidak dipanggil, pihak pembelaan akan memanggilnya untuk memberi keterangan.

Prosiding bersambung. – MalaysiaGazette