Meenakshi.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Pusat dan negeri  konsisten dalam usaha melindungi hutan dan menangani kesan-kesan perubahan iklim.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, negara kini tidak mampu untuk ‘berpura-pura’ bergerak ke hadapan dalam melestarikan hutan namun, hakikatnya berada pada takut yang sama.

Jelas beliau, pengurusan hutan yang tidak konsisten dalam era perubahan iklim ibarat menunggu berlaku sesuatu bencana.

“Pada September tahun lalu, Selangor telah memutuskan untuk mewartakan semula 534 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang sebelum ini telah dinyahwartakan, namun sehingga kini kerajaan negeri itu masih belum mewartakan semula sebahagian daripada HSKLU selepas enam bulan berjanji untuk melakukannya.

“Berkenaan dengan moratorium ke atas perladangan monokultur di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Semenanjung Malaysia pula, keputusan yang lebih berkesan sebenarnya adalah perlaksanaan sebuah larangan yang berkekalan.

“Kenapa kita mahu mengelak dari penukaran guna tanah hutan, hanya untuk tempoh 15 tahun? Adakah kesan-kesan perubahan iklim akan berkurang dalam masa 15 tahun lagi? Apakah asas kepada tempoh moratorium selama 15 tahun ini?,” katanya dalam satu kenyataan Sempena Hari Hutan Antarabangsa semalam.

Tambah beliau, permasalahan penukaran guna tanah hutan besar-besaran di Pahang, keluasannya kedua terbesar selepas Kelantan. Artikel tersebut juga turut mendedahkan isu kemungkinannya berlaku penyalahgunaan di dalam proses Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

“Usaha untuk mengelak dari proses EIA ini bukanlah satu perkara baharu jadi kerajaan negeri mesti bertanggungjawab atas kegagalan untuk memastikan manipulasi seperti itu tidak berlaku malah, tiada alasan bagi kerajaan negeri untuk tidak menyedari kejadian tersebut.

“Jika dilihat, situasi ini menunjukkan kita satu langkah ke hadapan diikuti satu langkah ke belakang dan ini sebenarnya akan membawa kepada kemusnahan alam, sekali gus berlaku bencana.

“Sehubungan itu, kita perlu memastikan bahawa pengurusan hutan dalam negara adalah konsisten dan elak dimanipulasi,” tegas Meenakshi. – MalaysiaGazette