Jeneral Memerintah Tentera Amerika Pasifik (USARPAC), Charles A. Flynn

KUALA LUMPUR – Kerjasama multilateral antara semua negara terlibat diyakini jalan penyelesaian terbaik untuk mencabar tuntutan China menerusi sembilan garis putus yang mengunjur dari utara ke selatan sehingga ke perairan Sarawak di Laut China Selatan.

Media antarabangsa baru-baru ini melaporkan sekurang-kurangnya tiga buah pulau di sekitar kawasan pertikaian tersebut telah dilengkapkan sepenuhnya dengan segala kelengkapan ketenteraan oleh negara kuasa besar Asia itu.

Tindakan China menyebabkan kawasan maritim yang dituntut sebagai sebahagian daripada negaranya itu bertindih dengan beberapa negara di perairan tersebut termasuk Vietnam, Filipina, Brunei dan Indonesia.

Jeneral Memerintah Tentera Amerika Pasifik (USARPAC), Charles A. Flynn berkata, jalan penyelesaian terbaik menghadapi ancaman dari China itu adalah menerusi kerjasama dan latihan ketenteraan antara negara-negara serantau di Asia Tenggara.

“Hubungan bilateral antara Amerika Syarikat (AS) dan hubungan multilateral antara negara terlibat di Asia Tenggara amat penting untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian di perairan tersebut.

“Untuk menyelesaikan masalah yang sangat kompleks seperti ini, cara terbaik adalah perlunya jalinan kerjasama multilateral antara semua pihak terlibat.

“Kebolehan untuk mengumpulkan pemimpin serantau supaya duduk semeja untuk saling memahami dan berbincang berkenaan cabaran yang dihadapi secara peribadi, saya rasa ini adalah cara terbaik untuk menghadapi sebarang cabaran di rantau (Laut China Selatan) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia yang membuka tirai hari ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Justeru tambah Flynn, pendekatan multilateral akan membantu dalam usaha untuk menjaga keselamatan kolektif negara-negara serantau selain memastikan kawasan perairan Indo-Pasifik bebas dari sebarang ancaman dan terbuka untuk semua pihak.

Pada masa yang sama, jelasnya, kejayaan penganjuran pameran seperti DSA 2022 dan NATSEC serta latihan ketenteraan seperti Eksersais Keris Strike dan Bersama Warrior membuktikan kerjasama erat antara pemimpin negara serantau.

Beliau mengharapkan inisiatif itu harus dan akan diteruskan demi manfaat dan menjamin keharmonian serta kedaulatan negara serantau. – MalaysiaGazette