Siti Bainun Ahd Razali. Foto AFFAN FAUZI, 14 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Rakan baik kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau yang merakam video remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella yang memaparkan kecederaan pada badan remaja itu ketika berjumpanya di sebuah kondominium pada Jun tahun lepas.

Perkara itu didedahkan pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, 39, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Asiah Abd Jalil, yang mewakili Siti Bainun pada hari ketiga perbicaraan kes wanita itu yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun tersebut.

Bagaimanapun, Zurianty, yang berkhidmat sebagai sukarelawan di Rumah Bonda antara 2015 dan 2019, menafikan rakaman video itu yang diambilnya di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, telah dibocorkan atau disebarkan di media sosial untuk mendapat perhatian umum.

Saksi pendakwaan pertama itu turut bersetuju dengan cadangan Asiah bahawa beliau membuat dua laporan polis, masing-masing pada 24 Jun dan 1 Julai 2021 adalah bertujuan supaya Siti Bainun ditangkap.

Zurianty turut bersetuju dengan peguam itu bahawa beliau memuat naik status berhubung kes Bella setiap hari di Facebook miliknya sejak 24 Jun 2021 dan berharap supaya Siti Bainun ditangkap.

Bagaimanapun, Zurianty berkata, beliau tidak mengetahui Siti Bainun ada membuat laporan polis pada 6 Julai 2021 selepas video Bella tersebar.

Ditanya peguam itu apakah perasaannya selepas mengetahui permohonan reman Siti Bainun ditolak selepas wanita itu ditangkap pada 15 Julai 2021, Zurianty berkata, dia tidak merasakan apa-apa dan tiada perasaan negatif kerana menganggap itu adalah prosedur biasa.

Disoal Asiah bahawa saksi itu sengaja mereka-reka cerita terdapat kes dera dan mengajar penghuni di Rumah Bonda membuat laporan polis sebagai Plan B supaya Siti Bainun ditangkap, Zurianty menjawab,”Tidak bersetuju”.

Zurianty turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa beliau mempunyai perasaan tidak puas hati dan cemburu terhadap Siti Bainun.

“Saya hanya berkawan baik dengan Siti Bainun sehingga Jun 2021. Saya tiada pergaduhan atau perbalahan dengannya.

“Tiada dendam, dengki atau niat jahat kepada Siti Bainun. Saya tidak mahu terus dibohongi, diperbodohkan dan diberikan alasan tidak munasabah oleh dia (Siti Bainun),” kata saksi itu.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung Isnin ini. – Bernama