Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini menumpukan usaha membantu ahli-ahlinya membina simpanan semula selepas memberi kemudahan pengeluaran semasa pandemik iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra, dan Pengeluaran Khas.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, selain mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan masa depan ahli, KWSP juga perlu memastikan ia dapat mengekalkan prestasinya pada masa hadapan.

Jelasnya, sebarang pengeluaran tambahan akan memberi impak terhadap kewangan KWSP dan melemahkan kedudukan portfolio semasa dan keupayaannya untuk menjana pulangan yang mampan.

”Kami akan terus memastikan kesihatan kewangan dan kepelbagaian portfolio global KWSP berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA), agar kami dapat mengatasi ketidaktentuan dalam mencapai objektif portfolio jangka panjang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah menambah, KWSP akan mengambil langkah waspada dalam menangani risiko berkaitan pemulihan pasca-pandemik serta perbalahan di Ukraine.

Ini kerana, kebimbangan sekitar inflasi, gangguan rantaian bekalan, dan pengetatan dasar monetari oleh bank pusat berkemungkinan menjejaskan arah aliran positif dalam kedua-dua pasaran ekuiti dan bon.

“KWSP kekal optimistik dengan prospek pertumbuhan Malaysia susulan pembukaan semula ekonomi dan sektor sosial, yang dijangka meningkat pada tahun ini berikutan peningkatan permintaan dalam dan luar negera, sejajar dengan unjuran pertumbuhan kerajaan antara 5.3% dan 6.3% tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, lanjutan daripada prestasi pasaran ekuiti yang lemah, KWSP akan terus mengimbangi semula kedudukan dananya dalam saham yang pada asasnya kukuh tetapi dinilai rendah.

“Kami yakin dengan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Malaysia seperti memastikan keterbukaan perdagangan dan mempelbagaikan asas eksport, untuk memastikan Pelan Pemulihan Nasional berada di landasan yang betul.

”Rizab antarabangsa negara yang kukuh dan sektor kewangan yang berdaya tahan adalah antara asas kukuh yang akan menyokong usaha pemulihan,” katanya sambil menambah langkah pemulihan integratif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan akan membantu dalam memantapkan ekonomi negara terhadap gangguan luar.

Sebagai salah satu tunggak rangka kerja sosio-ekonomi dan keselamatan sosial negara, prestasi dana KWSP dan sokongannya terhadap pasaran modal domestik adalah penting kepada kejayaan ekonomi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast