Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang baharu, Isham Jalil berjalan keluar selepas selesai menghadiri ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa didesak untuk memberikan keterangan mengenai dakwaan bahawa beliau merupakan saksi kepada perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung perjanjian pelantikan Timbalan Perdana Menteri.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu perlu memberi jawapan kepada dakwaan itu.

“Mungkin (Tan Sri) Annuar Musa boleh komen sama ada ia betul atau tidak, sebab pemimpin-pemimpin PPBM ada sebut nama dia dan surat perjanjian yang tular itu ada tandatangan dia. Jika betul, saya ingin tanya, dia ada tanya parti dan MKT kah semasa dia tandatangan perjanjian itu?

“Sebab perjanjian seperti ini adalah bukan perkara kecil, dan ia bukan sahaja melibatkan ahli-ahli Parlimen dalam kerajaan, ia juga memberi kesan besar kepada parti-parti politik dalam kerajaan termasuk dan lebih-lebih lagi UMNO.

“Jika surat itu tidak betul, sila perjelaskan atau nafikan supaya ia tidak menjadi polemik di dalam parti. Akar umbi dan rakyat ingin tahu. Ini bukan isu yang boleh disorok di bawah karpet. Jangan khianat parti dan jangan membelakangi parti dan akar umbi UMNO,” desak Isham dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu susulan dakwaan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menyatakan Annuar merupakan saksi kepada perjanjian tersebut.

Wan Saiful mengulas penafian Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berhubung terdapat perjanjian Ismail dengan PN untuk lantikan jawatan tersebut.

Bagaimanapun, pada Isnin lalu Annuar berkata, pemimpin politik bawahan diminta tidak menjadi ‘nasi tambah’ dalam perkara yang melibatkan pimpinan tertinggi termasuk dalam soal jawatan TPM.

Jelas Annuar, soal jawatan dan pelantikan TPM merupakan hak prerogratif perdana menteri.

Dalam pada itu, Isham berkata, MKT tidak tahu menahu mengenai perjanjian yang disebut oleh Bersatu.

“Saya ada tanya beberapa rakan ahli MKT, mereka pun kata mereka tidak tahu menahu akan perjanjian ini,” katanya.

Isu perjanjian jawatan TPM semakin hangat diperkatakan apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui membuat draf perjanjian berkaitan jawatan timbalan perdana menteri seperti dimaklumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, pembabitannya dalam draf perjanjian berkenaan dilakukan atas kedudukannya sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) ketika itu dan bukan kapasiti parti.

Semalam, media melaporkan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu meminta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang merujuk kepada Takiyuddin yang didakwanya sebagai ‘draftman’ atau individu bertanggungjawab menggubal draf mengenai kewujudan perjanjian antara Muhyiddin dan Ismail Sabri berkaitan jawatan TPM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast