KUALA LUMPUR – Masyarakat Orang Asli mempersoalkan hasrat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk mengkaji pindaan Akta 134 pada akhir tahun ini.
Bekas Senator Orang Asli, Bob Manolan Mohamad berkata, tindakan melambatkan pindaan akta itu hanya menimbulkan lebih banyak permasalahan kepada golongan pribumi.
“Kenapa menteri perlu menunggu sampai empat tahun? Sejak 2001 dan 2010, kerajaan telah berjanji akan membawa pindaan Akta 134 ke Parlimen.
“Semasa Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah memasukan Akta 134 dalam senarai untuk pindaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan Mahdzir Khalid semasa merasmikan Majlis Perhimpunan Perdana Batin dan Penghulu di Cheras berkata, pihaknya akan memulakan kajian pindaan Akta 134 mulai akhir 2022 dan akan diselesaikan pada 2025.
Menurut Bob Manolan, langkah ke belakang itu ibarat luka lama yang tidak boleh diubati kepada masyarakat Orang Asli.
“Kini banyak permasalahan dihadapi Orang Asli yang memerlukan tindakan segera. Ini termasuklah pencerobohan tanah, isu pampasan tanah, status Orang Asli dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyegerakan kajian semula itu akta itu dengan menggunakan hasil perbincangan terdahulu.
“Menteri yang bertanggungjawab juga telah mengadakan perbincangan dan hasilnya diserahkan kepada Menteri di Jabatan Menteri.
“Saya menggesa agar menteri dapat mengkaji semula draf pindaan tersebut dengan kadar segera dan membawa ke Parlimen paling lewat tahun hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette