Ajaran sesat Hadi Minaalah didakwa telah melakukan satu acara di Langkawi.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyiasat dan memantau terhadap kegiatan kumpulan sesat Hadi Minallah

Pengarah JAWI, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, siasatan dan tindakan susulan dibuat bersama Polis Diraja Malaysia di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

“Sebarang usaha menyebarkan ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam haruslah dibanteras habis-bahisan.

“Umat Islam disarankan agar sentiasa merujuk kepada autoriti agama bagi mengenal pasti dan menangkis anasir-anasir mengelirukan dari segi akidah dan pemikiran yang memesongkan akidah serta menjauhkan diri dari sebarang kegiatan yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan, sebuah ajaran sesat baharu yang diasaskan oleh Hadi Minallah didakwa sedang aktif di Kuala Lumpur, Kajang dan Johor.

Menurut sebuah video yang dimuat naik di saluran YouTube, ajaran itu berasal dari Indonesia itu diasaskan oleh Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminuddin Ahmad.

Kumpulan itu didakwa menyebarkan beberapa fahaman yang sesat seperti akidah sesat Nur Muhammad, fahaman pluralisme agama, fahaman makrifat yang menyesatkan bahkan mengaku bahawa beliau bukan Islam serta tidak mempunyai agama.

Tiga hari lalu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) mengeluarkan kenyataan memantau gerakan kumpulan itu dan pengikutnya di negeri itu susulan satu perhimpunan pertubuhan itu diadakan di Langkawi, Jun lepas.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Yusri Md Daud berkata, siasatan awal mendapati pertubuhan dari Indonesia tersebut tidak aktif di Kedah dan sekadar menggunakan Langkawi sebagai lokasi perhimpunan berkenaan.

Menurutnya, kumpulan tersebut berasal dari Indonesia dan berpusat di Singapura dan belum mempunyai cawangan di Kedah mahupun Langkawi.

Majlis berkenaan menghimpun semua ahlinya dari negeri lain juga.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga dilaporkan membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya menyekat serta mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan.-MalaysiaGazette