Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR – Keupayaan negara untuk mempertahankan diri akan terjejas berikutan kelewatan pembinaan kapal pesisir tempur (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa kelewatan tersebut diburukkan lagi oleh fakta kerajaan pada masa itu tidak bertindak secara telus atau berunding.

“Kerajaan Persekutuan semasa telah memutuskan untuk meneruskan projek membina lima LCS, dengan mengekalkan kontraktor yang sama, iaitu BNS.

“Mereka masih belum mendedahkan bagaimana hasrat untuk memastikan kegagalan dan kelewatan yang melanda projek itu tidak akan berulang,” katanya.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, kerajaan harus menggariskan rancangan untuk menangani cabaran pembinaan kapal tersebut dan bertindak mengikut cadangan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Beliau turut mendesak supaya laporan Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Awam (JKSTUPKK) mengenai LCS dibuka kepada awam.

“Kerajaan harus menggariskan secara komprehensif merancang untuk menangani cabaran yang hampir pasti akan terjadi, serta bertindak mengikut cadangan laporan PAC dengan segera.

“Kerajaan harus membuka dan memberi akses kepada laporan Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Awam (JKSTUPKK) mengenai LCS, serta melaksanakan syor kedua-dua laporan ini. Masa depan isu LCS ini sama penting dengan sejarahnya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Ahmad Nazim Abdul Rahman dalam satu kenyataan mengesahkan pembinaan fizikal kapal-kapal itu sedang dijalankan.

”Kalau naik bot ke Pangkor pun boleh nampak ‘hull’ kapal-kapal ini yang sebahagian besarnya sudah dibina,” ujarnya lagi.

Menurutnya, di bawah kontrak sekarang, pembinaan keenam-enam kapal ini perlu dibuat dalam masa yang serentak.

Beliau turun memberitahu kerajaan telah membayar RM6 bilion daripada RM9 bilion nilai kontrak kerana jumlah itu perlu membeli kesemua peralatan yang perlu dibina untuk membina enam kapal lSC.

Ahmad Nazim berkata, tempahan secara banyak adalah lebih murah berbanding membelinya satu persatu.

Beliau turut memberitahu pembinaan kapal-kapal tersebut terhenti pada tahun 2019 atas pelbagai sebab.

Tetapi kabinet pada April 2022 telah memutuskan untuk menyambung semula pembinaan projek ini berdasarkan opsyen yang paling murah.-MalaysiaGazette