Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Mahkamah Persekutuan pada hari pertama prosiding rayuan akhir bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan, di sini, menjadi tumpuan berikutan pendengaran rayuan terakhir Datuk Seri Najib Razak bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, yang dihadapinya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu yang tiba di lobi pada jam 9.05 pagi melambai kepada para penyokongnya yang menanti di luar pekarangan mahkamah.

Difahamkan para peguam Najib daripada Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) dan Tetuan Hisyam Teh akan berhujah menggunakan 94 alasan mengapa anak guamnya perlu dibebaskan daripada tujuh tuduhan menyeleweng dana SRC.

Kumpulan peguam itu akan mengemukakan kekhilafan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta tindakan pendakwaan yang menafikan hak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

MalaysiaGazette difahamkan prosiding akan bermula dengan mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu untuk membatalkan sabitan hukuman penyelewengan dana SRC terhadapnya.

Jika ditolak, maka rayuan akhir akan diteruskan dengan hujah dimulakan oleh Hisyam Teh Poh Teik bersama dua lagi peguam, Liew Teck Huat serta M Rueben.

Najib akan mengemukakan bukti baharu iaitu hakim yang telah mendengar dan menjatuh hukum terhadapnya, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai konflik kepentingan yang besar dalam kumpulan Maybank yang juga berperanan dalam pembentukan SRC selain memberikan pinjaman kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SRC adalah anak syarikat 1MDB namun kini milik sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Mohd Nazlan yang dahulunya Hakim Mahkamah Tinggi telah dinaikkan pangkat kepada Hakim Mahkamah Rayuan.

Pada Julai 2020, Mohd Nazlan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan.

Bagaimanapun pada 8 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi dan menolak rayuan Najib.

Rabu lalu ketika pengurusan kes rayuan akhir ini, peguam Najib mereka mereka diberi penangguhan atau mereka akan menarik diri.

Difahamkan pendengaran akhir ini bakal didengar oleh lima panel hakim tetapi senarai nama hakim belum diumumkan.

Namun terdapat desas desus bahawa Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan mengetuai barisan panel hakim bersama empat yang lain. – MalaysiaGazette