Home Utama Penyokong menangis melihat Najib dari luar bilik kaca

Penyokong menangis melihat Najib dari luar bilik kaca

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke prosiding kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion dengan kawalan keselamatan begitu ketat oleh Jabatan Penjara.

Beliau yang tiba dari Penjara Kajang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang diiringi pegawai-pegawai penjara tidak menggunakan pintu masuk biasa.

Sebaliknya, beliau dibawa menaiki lif khas terus ke bilik sel sementara menunggu perbicaraan pagi ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Penyokong dan pegawai Najib yang hadir sejak awal pagi sekitar jam 7 juga tidak dibenarkan mendekati beliau sama sekali.

Mereka hanya dapat melihatnya dari jauh di luar bilik bicara di Mahkamah Tinggi, di Tingkat 4.

MalaysiaGazette diberitahu, penyokong-penyokong Najib yang difahamkan dari Pekan, Pahang dan Pulau Pinang serta beberapa lokasi lain turut berada di mahkamah ini.

Sekitar jam 9.35 pagi tadi, sebelum prosiding bermula, Najib yang difahamkan mahu menggunakan tandas dibawa keluar dari bilik sel khas, sempat melambai ke arah para penyokongnya sambil tersenyum.

Lambaian Najib disahut dengan panggilan namanya di sebalik pintu kaca.

Walaupun sempat melambai dan melemparkan senyuman kepada penyokongnya, tindak-tanduk Najib itu cukup menyentuh perasaan, menyebabkan penyokong-penyokongnya mengalirkan air mata.

Meskipun dari kejauhan dapat melihat sosok Najib, rata-rata mereka tidak lepas melambai Najib dengan wajah sayu.

MalaysiaGazette juga difahamkan ketika ini Najib dapat bercakap sebentar dengan anak perempuannya, Nooryana Najwa.

Prosiding dijangka bermula sekitar 10 pagi dengan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, yang akan diperiksa balas semula oleh pendakwaan.

Najib hadir bagi perbicaraan pagi ini selepas Perintah Kehadiran (OTP) sudah dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast