Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid semasa sidang media kes dadah di Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA – Baru enam bulan keluar penjara namun ditahan semula kerana disyaki kembali aktif mengedar dadah.

Bagaimanapun, kegiatan suspek bersama rakannya dihidu pihak berkuasa apabila diberkas polis selepas baru menerima bekalan dadah untuk diedarkan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja selepas menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan di Damansara Perdana pada Selasa lalu.

“Polis telah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang ditemui dalam keadaan mencurigakan di kawasan tempat letak kereta pukul 5.30 petang.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kereta yang digunakan suspek akhirnya berjaya membawa kepada penemuan rampasan sebanyak 31 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dipercayai bekalan yang baru tiba dari utara Semenanjung,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek disahkan positif dadah jenis methaphetamine.

Berdasarkan soal siasat suspek pertama, polis kemudian telah melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di kawasan yang sama.

“Hasil serbuan polis berjaya mencekup seorang lagi suspek lelaki warga tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai dalang kepada sindiket pengedaran dadah itu dan pernah dipenjarakan atas kesalahan sama serta baru selesai menjalani hukuman enam bulan lalu sebelum kembali terlibat kegiatan ini lagi.

“Suspek kedua juga dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum disahkan positif dadah jenis methaphetamine.

“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah suspek kedua itu berjaya menemui dadah jenis syabu seberat 130 gram dan 184 pil yaba dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM91,610 dan dadah berkenaan boleh dibekalan kepada kira-kira 31,500 individu,” ujar beliau.

Tegas Mohamad Fakhrudin, siasatan juga mendapati suspek turut mempunya dia rekod lampau berkaitan dadah.

Katanya, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan sama ada terdapat saki baki ahli sindiket berkenaan.

“Kedua-dua suspek berjenaan kini telah direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati,” ujarnya.- MalaysiaGazette